PETALING JAYA: Selepas sering dibayangi oleh Datuk Azizulhasni Awang, Sukan Asia Hangzhou adalah pentas terbaik buat pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom untuk menyerlahkan potensi sebenarnya.
Tempatnya kini akan digalas Shah Firdaus Sahrom dalam keirin dan pecut individu, manakala Fadhil Zonis yang sebelum ini hanya beraksi dalam acara pecut berpasukan akan menyertai keirin.
Kata Azizulhasni, ini keputusan paling sukar pernah dibuat dalam kariernya sejak menjalani pembedahan jantung pada 2021, namun ia terpaksa diambil kerana enggan mengambil risiko untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Sejak mula beraksi di Sukan Asia 2010 Doha, Azizulhasni telah mengumpul dua emas, kali terakhir dalam acara pecut 2018 di Jakarta/Palembang.
“Saya harap ini masa untuk Shah Firdaus menyinar kerana dia mempunyai keazaman tinggi, pada ACC (Kejohanan Berbasikal Trek Asia), dia mampu bangkit walaupun jatuh tercedera. Dia ada semuanya dan mampu memenangi pingat di Sukan Asia.
“Shah pelumba elit, sama seperti saya, cuma yang membezakan mentaliti. Begitu juga Fadhi, dia paling kuat dalam kalangan kami di gimnasium tetapi masih ada perasaan kurang kepercayaan diri.
“Saya rasa dengan penyertaan di Sukan Asia kali ini, mungkin akan menyerlahkan lagi keupayaan dirinya. Saya kata kepadanya, ini bukanlah tugas mudah beraksi dalam tekanan sebegini tetapi kalau bukan sekarang, bila lagi?
“Jadi saya rasa ini adalah kesempatan yang terbaik untuk semua pelumba,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam.
Bagi Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, pihaknya masih optimis dengan barisan pelumba sedia ada biarpun akan turun beraksi tanpa kelibat Azizul yang berpotensi untum sumbangkan pingat emas.
“Saya harap ini adalah peluang untuk pelumba muda kita untuk tampil memberikan aksi terbaik mereka.
“Harus saya ingatkan objektif utama kami adalah di Sukan Olimpik Paris 2024, dan keputusan sukar diterima Azizul kerana ini sepatutnya menjadi Sukan Asia terakhir dalam kariernya, namun keutamaan untuk Azizul memberikan tumpuan kepada proses pemulihannya untuk ke Paris,” kata Amarjit.