Hanya pingat emas sasaran hoki lelaki di Sukan Asia

Hanya pingat emas sasaran hoki lelaki di Sukan Asia

SKUAD hoki negara diundi dalam Kumpulan B bersama Korea, China, Oman, Thailand dan Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berganjak daripada sasaran memburu pingat emas dalam acara hoki lelaki Sukan Asia 2022 yang akan membuka tirai di Hangzhou, 23 September depan.

Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Arul Selvaraj berkata, beliau bangga kerana keyakinan untuk membawa pulang emas disuarakan sendiri oleh pemain.

“Sasaran saya dan secara peribadi saya mahu bawa pasukan negara ke Olimpik, jadi cara terbaik adalah menang emas di Sukan Asia.

“Saya bangga dengan pemain yang mana mereka sendiri bercakap mahu menang emas. Mereka nak menang sebab mereka percaya mereka boleh menang. Itu membuatkan saya lebih tenang ketika ini.

“Saya gembira kerana ini membuktikan mereka sudah bersedia 100 peratus dan betul-betul mahukannya. Ia dapat dilihat daripada fokus, semangat dan kerja keras semasa latihan,” katanya.

Arul juga percaya barisan 18 pemain terpilih mampu menggalas cabaran untuk membawa pulang pingat emas, sekali gus menjadi pencapaian terbaik Malaysia di pentas Sukan Asia.

Berdasarkan senarai itu, skuad negara turut diperkuatkan dengan tujuh pemain yang pernah beraksi ketika memenangi pingat perak Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Speedy Tigers yang diundi dalam Kumpulan B bersama Korea, China, Oman, Thailand dan Indonesia turut menyasarkan cemerlang dalam tiga perlawanan pertama bagi memberi keselesaan untuk beraksi di pentas akhir.

Arul bagaimanapun  terpaksa melepaskan tiga tonggak iaitu Mohd. Fitri Saari, Muhammad Syafiq Hassan dan Muhammad Shahril Saabah kerana dilanda kecederaan dan digantikan dengan Muhammad Ramadan Rosli dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

“Atas kertas, lawan kita nampak mudah tetapi jika tidak bersedia dengan mentaliti untuk menang, itu menyukarkan keadaan. Untuk itu, kita perlu menang tiga aksi awal.

“Saya tidak beri tekanan kepada pemain untuk dapatkan (berapa) gol dalam ketiga-tiga perlawanan tetapi mesejnya adalah kita bermain dengan berstruktur, disiplin, kawalan yang baik, dan kemudian gol akan datang sendiri.

“Saya rasa tiga aksi awal akan menyaksikan banyak jaringan sudut penalti malah kemungkinan pasukan lawan bermain untuk bertahan. Tiga aksi ini adalah batu loncatan untuk kita bina momentum berdepan pasukan seterusnya.

“Bagi fasa akhir latihan sekarang, kami hanya bermain untuk berseronok. Saya tidak mahu pemain tertekan dan saya mahu emosi mereka juga gembira. Sudah tentu proses pemilihan pemain menyukarkan, tetapi mereka menerima keputusan ini dengan baik.

“Untuk Nik Aiman, saya ambil dia kerana kami percayakannya. Dia ada kawalan (control handling) yang baik bahkan dia boleh bermain dalam banyak posisi. Dia memiliki kekuatan, tenaga yang diperlukan walaupun sudah 11 bulan tidak bermain” katanya.

Sementara itu bagi pasukan wanita pula, sasaran di kedudukan kelima terbaik dilihat merupakan pencapaian paling realistik kerana undian dalam Kumpulan A akan mempertemukan mereka dengan gergasi Asia seperti India, Korea, Hong Kong, China dan Singapura. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya