MONZA: Juara Formula Satu (F1) dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menamatkan teka-teki mengenai masa depannya apabila memperbaharui kontrak dengan pasukan Mercedes sehingga 2024.
Silver Arrows ketika mengumumkan perkara itu semalam turut mengesahkan, Hamilton akan kekal bergandingan dengan rakan senegaranya dari Britain, George Russell.
Perjanjian baharu tersebut dijangka membolehkan pemandu berusia 38 tahun itu menikmati 50 juta pound (RM294 juta) setahun.
Pengumuman yang dibuat menjelang Grand Prix Itali hujung minggu ini menamatkan spekulasi mengenai masa depan yang selama ini membelenggu Hamilton.
The Team is delighted to announce that Lewis and George will continue to lead its driver line-up in 2024 and 2025. 💪 pic.twitter.com/MSdlhUrOX7
— Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team (@MercedesAMGF1) August 31, 2023
“Setiap hari kami mengimpikan untuk menjadi yang terbaik dan kami telah mendedikasikan sedekad lalu bersama-sama untuk mencapai matlamat itu.
“Berada di tempat teratas tidak berlaku dalam sekelip mata atau dalam tempoh yang singkat, ia memerlukan komitmen, kerja keras dan dedikasi dan merupakan satu penghormatan untuk masuk ke dalam buku sejarah bersama pasukan yang luar biasa ini.
“Kami sentiasa dahagakan kejayaan. Kami bukan sahaja belajar daripada kejayaan tetapi juga setiap kemunduran… kami terus berjuang tidak kira cabaran dan kami akan menang sekali lagi.
“Saya berterima kasih kepada pasukan yang menyokong saya di dalam dan luar trek. Kisah kami belum selesai, kami berazam untuk mencapai lebih banyak lagi bersama dan kami tidak akan berhenti sehingga kami melakukannya,” kata Hamilton. – AGENSI