ATLANTA: Pemain Norway, Viktor Hovland berjaya mengekang kebangkitan Xander Schauffele dari Amerika Syarikat untuk menamatkan saingan dengan 27 bawah par dan memenangi golf Tour Championship di Kelab Golf East Lake di Atlanta.
Dengan kemenangan itu, Hovland turut muncul juara FedEx Cup yang ketiga termuda dalam sejarah dan membawa pulang wang kemenangan AS$18 juta.
“Macam tidak percaya saya berdiri di sini sekarang, saya menampilkan permainan golf terbaik dalam tempoh dua minggu ini dan sudah tentu ia berlaku pada saat yang terbaik dan di hadapan semua yang ada ini,” katanya.
Hovland, 25, memasuki pusingan akhir dengan mendahului enam pukulan, yang menjadi pendahulu untuk 54 lubang dengan jarak pukulan terbesar sejak FedEx Cup diperkenalkan, selepas melakukan empat di bawah par 66 pada pusingan ketiga hari Sabtu.
Selepas permainan tertangguh akibat cuaca selama satu jam 53 minit pada hari Ahad, permainan disambung semula di East Lake di mana Schauffele melakukan birdie di tujuh daripada 12 lubang pertamanya untuk mengurangkan kelebihan dimiliki Hovland kepada tiga pukulan.
Bagaimanapun, selepas melakukan birdie empat daripada enam lubang pertamanya, Hovland melakukan par pada sembilan lubang seterusnya, sebelum akhirnya melebarkan semula jarak sebagai pendahulu kepada lima pukulan hasil birdie pada lubang ke-16 dan ke-17. Birdie di lubang ke-18 mengesahkan kemenangan mutlak beliau.
Schauffele menamatkan di tempat kedua selepas melakukan 22 di bawah par keseluruhan, manakala pemenang Terbuka AS 2023, Wyndham Clark menamatkan di tempat ketiga dengan 16 di bawah par.
Hovland memasuki kejohahan penentuan itu sebagai pilihan No. 2 selepas memenangi Kejuaraan BMW minggu lalu.
Dia menyertai Tiger Woods, Billy Horschel dan Patrick Cantlay sebagai satu-satunya pemain golf yang memenangi Kejohanan BMW dan Piala FedEx pada musim yang sama. – AFP