IPOH: Peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang akan berakhir di puncak Genting Highlands hari ini dijangka menentukan pemilik jersi hijau, juara keseluruhan biarpun masih berbaki tiga lagi perlumbaan sebelum saingan melabuhkan tirainya pada Sabtu.
Perlumbaan dari Slim River ke Genting Highlands sejauh 126.4 kilometer (km) menawarkan dua zon pecutan di Tanjung Malim dan Gombak serta tiga zon dakian bermula di Rawang, Bentong dan yang terakhir puncak Genting Highlands yang menjanjikan cabaran dakian setinggi 1,625 meter (m).
Setakat empat hari perlumbaan, pemegang jersi hijau telah tiga kali berpindah tangan, bermula dengan Arvid De Kleijn (Tudor Pro Cycling) di peringkat pertama serta kedua, diikuti Enrico Zanoncello (Green Project Bardiani-CSF Faizane) dan terbaru, George Jackson (Bolton Equities Black Spoke) yang merampasnya ketika peringkat keempat semalam.
Begitupun jurang masa dimiliki Jackson dengan pencabar lain tidak jauh hanya 0.06 saat (s) meninggalkan Zanoncello, diikuti Simon Carr (EF Education Easy-Post), 0.10s.
“Saya masih ingat saya melihat peringkat perlumbaan di Genting Highland tahun lalu apabila rakan sepasukan, Hugh Carthy telah mendahului saingan untuk tempoh lama namun dia semakin perlahan menuju ke penghujung perlumbaan dan terpaksa akur mengakhiri perlumbaan di tempat kedua.
“Saya rasa jika ada hari yang akan menentukan pemenang juara keseluruhan, sudah pasti ia adalah hari ketika peringkat perlumbaan mendaki ke Genting Highlands,” jelas Carr.
Sejak Genting Highlands kembali disenaraikan dalam perlumbaan LTdL pada 2019 selepas empat tahun disisihkan, dua pelumba yang berjaya menawan puncak telah mengakhiri saingan LTdL sebagai juara keseluruhan, iaitu Benjamin Dyball (2019) serta Ivan Sosa (2022).
Bagi pasukan kebangsaan, biarpun misi untuk merampas jersi hijau itu adalah sesuatu di luar jangkauan mereka, namun barisan anak buah Mohd Yusof Nasir telah bersedia untuk bersama-sama mengharungi cabaran puncak tertinggi perlumbaan itu berbekalkan latihan rahsia di Genting Highlands sebulan sebelum saingan bermula.
“Kita sudah berlatih sejak dua tiga bulan lepas, dan kita akan tetap berikan tentangan yang sengit untuk pelumba-pelumba Eropah.
“Untuk esok (hari ini), kita ada Shaiful Adlan, Muhsin (Al Redha) dan Aiman (Rosli) untuk kita naikkan kedudukan kita semula dalam kedudukan individu dan pasukan keseluruhan.
“Genting ini istimewa diibaratkan seperti peringkat Tour de France yang melalui pergunungan Alps, dan orang mengenali perlumbaan ini disebabkan peringkat di Genting Highlands dan ternanti-nantikan perlumbaan di sini, jadi kita akan cuba untuk melakukan sesuatu bagi mengharumkan nama Malaysia,” jelas Yusof. – UTUSAN ONLINE