PETALING JAYA: Muhammad Fadhil Zonis tidak menganggap amanah untuk menggantikan ikon berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin dalam Sukan Asia Hangzhou sebagai satu tekanan.
Sebaliknya, Fadhil menganggap kesempatan itu adalah peluang terbaik untuk dirinya membuktikan kemampuan kerana sebelum ini banyak beraksi dalam acara pecut berpasukan di kejohanan besar.
Kata Fadhil, dia tidak meletakkan dirinya dalam tekanan selepas mendapat tahu namanya ‘naik’ untuk menggantikan Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe, sebaliknya percaya dia dipilih kerana kemampuan diri.
“Saya enggan letak tekanan dan mahu ‘enjoy’ dengan perlumbaan. Ini acara individu pertama saya di Sukan Asia, saya sudah biasa dengan acara keirin tetapi perlu belajar lagi.
“Galas tugas ganti Azizulhasni adalah berat dan saya kena buat kerja sikit untuk tengok video bagaimana cara pelumba lain berlumba agar saya ada pengetahuan tentang pesaing yang bakal dihadapi di Hangzhou nanti.
“Jurulatih, John Beasley juga ada pesan kepada saya agar tidak ‘tidur’ dalam perlumbaan, dia beri tunjuk ajar tentang bagaimana untuk guna kesempatan pusingan terakhir, selain beberapa perkara asas lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada Azizulhasni meninggalkan pesanan kepadanya untuk bersaing di Sukan Asia, Fadhil berkata, The Pocket Rocketmen ada berjumpa dengannya dan menitipkan pesanan agar dia menggalas harapan negara.
“Azizulhasni ucap selamat berjaya untuk saya dan dia mahu saya buat yang terbaik di Sukan Asia Hangzhou. Dia juga tidak mahu saya tertekan dengan tugasan itu selain mahu saya cuba yang terbaik,” katanya.
Selain itu, Fadhil yang turut beraksi dalam pecut berpasukan berkata, persiapan fasa akhir ketika ini berjalan baik biarpun fokusnya bertambah ke acara keirin.
“Sasaran saya bersama pasukan pecut adalah meraih pingat, kita adalah pasukan yang baru. jadi, mungkin ada sedikit tekanan. Kami, akan ambil langkah demi langkah,” katanya.
Kelmarin, Azizulhasni mengejutkan peminat sukan tahan air apabila mengumumkan penarikan diri daripada Sukan Asia selepas mengalami kecederaan kerana terbabit kemalangan ketika sesi latihan, Jumaat lalu.
Bagi Azizulhasni, ia antara keputusan sukar yang dibuat dalam kariernya selepas terpaksa menjalani pembedahan jantung pada 2021, namun terpaksa berbuat demikian kerana enggan mengambil risiko untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Tempat Azizulhasni dalam acara keirin akan digantikan oleh Fadhil, sementara Muhammad Ridhwan Sahrom akan beraksi dalam acara pecut.
Fadhil akan bergandingan Shah Firdaus Shahrom bertanding dalam acara keirin. Shah Firdaus juga akan beraksi untuk pecut.
Untuk rekod, Fadhil meraih pingat perak bersama Azizulhasni dan Shah Firdaus dalam acara pecut berpasukan pada Sukan Asia 2018 di Jakarta/Palembang.