PETALING JAYA: Demi misi memburu pingat Sukan Asia, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ‘berdamai’ dengan jaguh perseorangan negara itu akan kembali ke kem latihan skuad kebangsaan.
Zii Jia, 25, akan menyertai kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebagai persiapan menghadapi temasya Hangzhou dari 23 September hingga 8 Oktober selepas kedua-dua pihak berjaya menyelesaikan isu baju yang sebelum ni mencetus perbalahan.
Bulan lalu, jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng meluahkan kekecewaan terhadap BAM apabila tidak dibenarkan memakai pakaian penaja mereka, sebaliknya hanya boleh menggunakan baju dengan logo penaja BAM jika mahu menjalani latihan di ABM.
Bagaimanapun BAM menjelaskan peraturan itu bukanlah peraturan baru sebaliknya telah digunapakai sejak sekian lama.
Pengarah Pentadbiran BAM, Michelle Chai berkata, hasil perbincangan dengan semua pihak, mereka bersetuju menyediakan baju latihan rasmi tanpa sebarang logo penaja untuk semua pemain yang akan beraksi dalam Sukan Asia.
Baju latihan itu bukan sahaja akan dibekalkan kepada pemain profesional, malah turut dipakai pemain di bawah naungan BAM yang akan beraksi di China.
“Menerusi perbincangan dengan pemain profesional, mereka tiada halangan dengan perkara ini.
“Jadi, kami akan menyediakan jersi latihan itu nanti dan mereka akan gunakannya sepanjang latihan di ABM termasuklah pemain BAM sendiri.
“Pendekatan ini terpakai untuk sesi latihan bagi persiapan ke Sukan Asia dan selepas itu peraturan yang sama tetap digunakan,” jelas Michelle.
Skuad badminton kebangsaan akan memulakan latihan pusat mereka pada 19 hingga 23 September, namun Zii Jia meminta pengecualian untuk menyertai kem negara lebih lewat kerana terikat dengan komitmen bersama penaja dan pasukannya.
“Kita faham mengenai situasi yang dialami Zii Jia dan pasukannya kami pun tiada sebarang masalah.
“Selepas itu, Zii Jia akan menyertai latihan pada 22 September,” kata Michelle.
Pemain badminton negara mempamer prestasi terburuk dalam Sukan Asia 2018 apabila pulang tanpa sebarang pingat di Jakarta.