Cuaca panas, penonton 'tidak mesra' gagal sekat langkah Djokovic

Cuaca panas, penonton ‘tidak mesra’ gagal sekat langkah Djokovic

NOVAK Djokovic meraikan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka AS di New York hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Novak Djokovic mengetepikan cuaca panas dan penyokong yang ‘tidak mesra’ untuk melangkah ke separuh akhir tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menundukkan pemain tuan rumah, Taylor Fritz hari ini.

Jaguh Serbia itu menang 6-1, 6-4, 6-4 untuk mengatasi rekod Roger Federer mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali ke-47.

Djokovic, 36, juga melebarkan rekod kemenangan ke atas pilihan kesembilan, Fritz kepada 8-0 dan berada di landasan memburu gelaran Grand Slam ke-24.

Perlawanan itu dimainkan dengan bumbung di Stadium Arthur Ashe ditutup separuh bagi membolehkan tempat duduk penonton lebih teduh, namun kedua-dua pemain bertarung di bawah suhu mencecah 38 darjah Celcius.

Ketika bertukar gelanggang, pemain mencari ketenangan, sama ada dengan menanggalkan baju atau membalut tuala berisi ais di leher mereka atau menuang air di atas kepala.

Kedua-dua pemain, Djokovic dan Fritz, 25, berdepan masalah pada hari paling panas dalam kejohanan setakat ini.

Begitupun, ketika Djokovic berjaya mengekalkan rentak permainan dengan baik, Fritz terus melakukan kesilapan termasuk 19 kesilapan sendiri.

Bercakap dalam temu bual di gelanggangnya, Djokovic berkata, cuaca bukan satu-satunya cabaran yang dihadapi, malah dia berdepan ribuan penonton yang memihak kepada Fritz.

“Saya rasa, ia perkara yang boleh dijangkakan. Penonton mesti menyokong pemain tuan rumah dan tidak ada yang salah dengan itu, malah saya sebenarnya sukakan suasana di gelanggang tengah.

“Saya menyerap tenaga itu, cuba menjadikannya sebagai bahan api untuk bermain tenis terbaik,” kata juara Terbuka AS tiga kali itu.

Bercakap tentang cuaca panas yang amat panas, pemain No. 2 dunia secara berseloroh berkata: “Potongan rambut (pendek) banyak membantu! Saya lebih aerodinamik di gelanggang.

“Saya bermandi peluh, saya melihat tukang jahit dan menukar baju beberapa kali.

Djokovic akan menentang seorang lagi pemain Amerika Syarikat di separuh akhir, Jumaat ini kerana bakal berdepan pemenang di antara Ben Shelton dan Frances Tiafoe.

“Saya akan menikmati perlawanan itu bersama fisioterapi, urutan dan beberapa popcorn! Saya akan menentang seorang lagi pemain Amerika dan saya perlu bersedia untuk sesiapa sahaja yang berada di sisi lain,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya