LONDON: Chelsea bakal melepasi perbelanjaan keseluruhan 1 bilion pound (RM5.9 juta) sejak diambil alih oleh Todd Boehly apabila mencapai persetujuan untuk membeli bintang muda Manchester City, Cole Palmer pada harga 45 juta pound (RM265 juta).
Blues telah melepasi angka 300 juta pound (RM1.7 bilion) dalam tiga jendela perpindahan berturut-turut.
Palmer antara tonggak skuad England yang merangkul Kejohanan Eropah (Euro) bawah 21 (B-21), Julai lalu dan dibawa masuk sebagai aset terbaru pengurus, Mauricio Pochettino.
Pemain tengah berusia 21 tahun itu menampilkan aksi memberangsangkan bersama City musim ini apabila menjaringkan gol ketika menentang Arsenal dalam Piala Perisai Komuniti, bulan lalu, selain meledak gol ketika City menjuarai Piala Super Eropah menentang Sevilla.
Kehadiran Palmer dijangka menambah sengat di jentera serangan Chelsea selepas Pochettino kehilangan Christopher Nkunku dan Carney Chukwuemeka yang mengalami kecederaan.
Boehly yang mengambil alih pemilikan Chelsea pada Mac tahun lalu telah berbelanja mewah untuk mendapatkan beberapa pemain musim ini antaranya Moises Caicedo, Romeo Lavia, Axel Disasi, Nicolas Jackson, Robert Sanchez serta Lesley Ugochukwu.
Ketika ini, mereka masih lagi berharap untuk mendapatkan seorang lagi pemain tengah, iaitu Emile Smith-Rowe dari Arsenal. – AGENSI