LONDON: Casemiro meledak satu gol dan mencipta satu umpanan untuk membantu juara bertahan, Manchester United mara ke pusingan keempat Piala Liga dengan menumpaskan Crystal Palace 3-0 di Old Trafford awal pagi tadi.
Erik ten Hag membuat banyak pertukaran daripada skuad yang menewaskan Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu dan membuka jaringan menerusi Alejandro Garnacho pada minit ke-21.
Red Devils menggandakan kedudukan enam minit kemudian selepas Casemiro menanduk sepakan sudut yang diambil oleh Mason Mount.
Hanya 10 minit selepas babak kedua bersambung, Casemiro melakukan umpanan untuk gol ketiga yang disempurnakan oleh Anthony Martial.
Ketika United menjulang Piala Liga, Februari lalu untuk menamatkan kemarau trofi selama enam tahun, ia dilihat sebagai permulaan era baharu Red Evils.
Bagaimanapun mereka diselubungi beberapa masalah di dalam dan di luar padang.
United kalah dalam tiga daripada lima perlawanan liga pertama yang menyebabkan Ten Hag dikritik hebat, namun empat hari terakhir ini memberi sinar harapan semula kepadanya.
“Saya rasa kami bermain agak baik dan menguasai permainan. Itulah yang kami mahukan.
“Kami melangkah setapak ke hadapan di Burnley terutama cara kami bertahan dengan baik. Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki pada masa akan datang,” kata Ten Hag. – AGENSI