Boling padang dapat lampu hijau kembali ke program Podium

Boling padang dapat lampu hijau kembali ke program Podium

KEJAYAAN Aleena Nawawi(kiri) dan Nur Ain Nabilah meraih pingat emas beregu dunia membolehkan mereka kembali ke program Podium.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sukan boling padang dilihat tidak mempunyai masalah untuk kembali diserap semula ke dalam program Podium selepas Majlis Sukan Negara (MSN) melihat mereka berpotensi untuk menjadi prospek utama kontinjen Malaysia di temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Perkara ini dimaklumkan oleh Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin yang menjelaskan perancangan untuk memasukkan semula program telah pun dibincangkan bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kelmarin, Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz memohon MSN untuk menyenaraikan atlet mereka, terutama juara beregu wanita dunia, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi serta  Izzat Shameer-Soufi Rusly yang meraih gangsa  beregu lelaki pada Kejohanan Dunia di Gold Coast, Australia dimasukkan dalam program Podium.

Boling Padang pernah berada dalam program Podium, namun digugurkan tahun ini selepas tidak terlibat dalam Sukan SEA Kemboja dan Sukan Asia 2022 di Hangzhou.

“Saya telah memberikan taklimat kepada MOM minggu lepas, dan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria telah meminta agar sukan-sukan yang boleh disenaraikan ke temasya tersebut dilibatkan, jadi MSN akan memanggil satu mesyuarat bersama kesemua persatuan sukan terlibat pada minggu pertama November depan untuk semua keputusan ini dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kerja pada Disember.

“Jadi untuk sukan boling padang, jangan risau, memang mereka akan tersenarai kerana berdasarkan rekod lalu, malah acara sukan boling padang akan dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025 serta Sukan SEA Malaysia 2027,” jelas Jefri kepada pemberita ketika ditemui di MSN Bukit Jalil hari ini.

JEFRI NGADIRIN

Tambahnya selain boling padang, beberapa sukan lain yang berpotensi untuk menyumbang pingat emas untuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand turut akan dipertimbangkan untuk diserap ke dalam program itu, antaranya snuker dan biliard serta kickboxing yang sebelum ini berada di luar program sepenuh masa MSN.

“Semestinya sukan-sukan yang telah menyumbangkan pingat di Sukan SEA Kemboja yang lalu akan dimasukkan dalam program podium secara sepenuh masa agar mereka dapat meneruskan kecemerlangan mereka ataupun menambah pingat emas di temasya sukan yang seterusnya.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan NSSU (Universiti Sukan Nippon) yang telah menandatangani MOU (perjanjian persefahaman) dengan pihak kita dan MOM untuk membantu dari segi kepakaran menjelang bengkel penetapan program pada minggu kedua bulan November nanti,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya