PETALING JAYA: Penantian Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk merangkul gelaran sulung dalam Jelajah Dunia nampaknya masih belum kunjung tiba, apabila beregu lelaki utama negara itu kecundang pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka China di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China, hari ini.
Percubaan untuk kesekian kalinya buat pasangan No. 6 dunia itu masih menemui jalan buntu apabila mereka akur kepada kehandalan gandingan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 12-21, 14-21 hanya dalam masa 26 minit.
Aaron-Wooi Yik yang masih memburu gelaran sulung sejak 2017 hanya berpuas hati dengan kedudukan naib juara yang merupakan kali ketiga dihuni mereka pada tahun ini.
Bermula dengan Terbuka India (Super 750), selepas itu, mereka sekali muncul nasib juara di Terbuka Indonesia (Super 1,000) dan hari ini, mereka mengulangi pencapaian sama di Terbuka China (Super 1,000).
Tidak tahu di mana silapnya, rezeki buat juara dunia 2022 itu nampaknya masih belum ada untuk merangkul gelaran.
Untuk pertemuan, hari ini, menentang beregu No. 3 dunia, Aaron mahupun Wooi Yik kelihatan bergelut untuk menyaingi rentak Wei Kang-Wang Chang yang mendominasi perlawanan akhir itu.
Wei Keng-Wang Chang yang buat julung kali merangkul gelaran di tanah air mereka sendiri menggondol wang tunai AS$148,000 (RM692,122), manakala, Aaron-Wooi Yik membawa pulang AS$70,000 (RM327,355). – UTUSAN ONLINE