LONDON: Bekas kapten Wales, Gareth Bale akan beraksi dalam kejohanan golf Piala Ryder beberapa bulan selepas mengumumkan persaraan daripada bola sepak.
Keghairahannya terhadap golf memang tidak dapat dinafikan, dan dia kini mempunyai lebih banyak masa untuk mengasah bakatnya sejak menggantung but selepas memimpin Wales pada Piala Dunia di Qatar.
Bale, 34, kembali menjadi tumpuan dalam satu lagi acara sukan terkenal akhir bulan ini apabila mengambil bahagian dalam All-Star selebriti sempena Piala Ryder antara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) di Marco Simone berhampiran Rom.
Dia bukan satu-satunya nama besar yang mengambil bahagian kerana bintang tenis Serbia, Novak Djokovic, bekas penyerang Ukraine, Andriy Shevchenko dan pemandu Formula Satu Ferrari turut bertanding.
Sepuluh selebriti sukan dipecah kepada dua pasukan dengan setiap pasukan diketuai legenda golf, Colin Montgomerie dan Corey Pavin.
Bekas bekas bintang Real Madrid dan Tottenham, Bale akan berada dalam pasukan Montgomerie, bekas pemain No. 2 dunia dari Scotland.
“Piala Ryder acara istimewa, selepas menyaksikan sendiri suasana luar biasa ketika Eropah muncul juara 2010, saya tidak sabar untuk menjadi sebahagian saingan di Rom.
“Perlawanan All-Star, di bawah kapten Montgomerie akan menjadi pengalaman menakjubkan.
“Ia pasti menjadi acara yang popular dan peminat akan menikmatinya,” kata Bale.
Perlawanan berlangsung dua hari sebelum Piala Ryder bermula pada 29 September. – AGENSI