PETALING JAYA: Kurang tiga hari sebelum berlangsungnya Sukan Asia Hangzhou 2023, kontinjen Malaysia menerima tamparan hebat apabila akan turun berentap di temasya itu tanpa jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.
Perkara ini diumumkan sendiri Azizulhasni menerusi satu sidang media khas di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil yang mengakui kecewa apabila tidak dapat beraksi di Hangzhou yang merupakan Sukan Asia terakhirnya.
Jumaat lalu, Azizulhasni yang digelar The Rocket Pocketman terlibat dengan kemalangan ketika menjalani latihan di Velodrome Nasional, Nilai, yang menyaksikan dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan pinggul kiri.
Jelas Azizulhasni, dia cuba untuk meneruskan latihan seperti biasa, namun kesakitan semakin serius memasuki hari keempat.
“Dukacita saya maklumkan saya tidak akan beraksi di Sukan Asia kali ini.
“Pada mulanya, kecederaan saya tidak serius, termasuklah selepas menjalani imbasan di Institut Sukan Negara (ISN), tetapi selepas beberapa hari menjalani latihan saya masih lagi berasa sakit di beberapa bahagian badan.
“Justeru selepas membuat perbincangan rapi dengan jurulatih saya, John Beasley, kami bersetuju untuk saya tidak mengambil bahagian untuk Sukan Asia kali ini supaya tidak memberi kesan kepada Sukan Olimpik tahun hadapan,” jelas Azizulhasni. – UTUSAN ONLINE