PETALING JAYA: Muhammad Azeem Fahmi tidak berdepan masalah untuk melayakkan diri ke separuh akhir 100 meter (m) Sukan Asia Hangzhou esok selepas mengungguli peringkat saringan sebentar tadi.
Azeem, 19, seperti masih menyimpan tenaga dan belum memberikan pecutan terbaik ketika menjuarai peringkat saringan 3 di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou dengan catatan masa 10.28 saat (s).
Tiga lagi pelari daripada saringan itu yang turut layak ke separuh akhir iaitu Hassan Taftian dari Iran dengan masa 10.42s, Ali Anwar Ali Al Balushi (Oman, 10.47s) dan Jaeseong Lee (Korea Selatan, 10.50s).
Berdasarkan prestasi semasa, atlet dari Teluk Intan, Perak yang kini menuntut di Universiti Auburn itu berpotensi memecahkan rekod 100m kebangsaannya iaitu 10.09s sama ada di separuh akhir atau final.
Seorang lagi wakil negara, Khairul Hafiz Jantan turut cemerlang apabila berjaya menempatkan diri sebagai empat pelari terbaik daripada saringan 5 dan mengiringi Azeem ke separuh akhir malam esok.
Bekas raja pecut Asia Tenggara pada 2017 itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 10.48s, di belakang Lalu Muhammad Zohri (Indonesia, 10.22s), Femi Ogunode (Qatar, 10.24s) dan Imranur Rahman (Bangladesh, 10.44s).
Bagaimanapun, ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli gagal mengulangi pencapaiannya ke final seperti edisi lima tahun lalu apabila cabarannya terhenti di peringkat saringan.-UTUSAN ONLINE