PETALING JAYA: Memang tiada sasaran pingat emas diletakkan kontinjen negara dalam Sukan Asia kali ini, namun atlet yang menggalas cabaran Malaysia harus mempunyai rasa tanggungjawab untuk berjuang memburu keputusan terbaik.
Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Asia 2023, Profesor Madya Dr. Farrah-Hani Imran mengingatkan semua atlet agar tidak mengambil kesempatan daripada sasaran yang diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Dalam hidup ada orang niat ikhlas dan tidak ikhlas. Kita sebagai atlet boleh tahu sama pergi main-main atau serius. Niat penting sebab dalam hidup apa-apa yang kita nak buat itu penting.
“Kalau mereka buat macam itu (ambil ringan), mereka menyalah gunakan duit rakyat. Anda akan hidup dengan rasa malu sebab orang tahu anda pergi dan berputus asa.
“Warga sukan tak bodoh, orang MSN tak bodoh. Mereka akan tahu atlet yang pergi dan buat dengan betul-betul.
“Kita buat sasaran secara am ini adalah untuk memberi peluang dan kelonggaran supaya atlet dapat pergi memberikan yang terbaik dalam diri mereka. Prinsipnya saya percaya kita akan dapat (pingat) emas itu,” katanya ketika melawat sesi latihan skuad sepak takraw di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil semalam.
Terdahulu, Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Chong Kim Fatt mengumumkan Malaysia yang dibarisi 289 orang atlet negara hanya meletakkan sasaran untuk membawa pulang 27 pingat tanpa mengira warna dari Sukan Asia Hangzhou, sekali gus menimbulkan polemik dalam kalangan pemerhati sukan tanah air.
Begitupun, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Naziffudin Najib menjelaskan keputusan menggunakan kaedah ini tidak ada sebarang kaitan dengan kegagalan kontinjen negara yang gagal capai sasaran pingat emas di Sukan SEA Kemboja Mei lalu.