LONDON: Dua gol dalam masa kecederaan hasil ledakan Declan Rice dan Gabriel Jesus berjaya membantu Arsenal menumpaskan Manchester United 3-1 di Stadium Emirates, sebentar tadi.
Rice meledak pada minit keenam masa tambahan menerusi sepakan voli menarik selepas menerima hantaran Bukayo Saka manakala Jesus menoktahkan kemenangan Arsenal lima minit kemudian.
Dalam aksi itu, United terlebih dahulu berada di hadapan menerusi Marcus Rashford pada minit ke-27 selepas penyerang England itu bijak melakukan larian untuk menyudahkan umpanan Christian Eriksen.
Bagaimanapun, kegembiraan United tidak bertahan lama apabila seminit kemudian Arsenal kembali menyamakan kedudukan menerusi penyudah menarik Martin Odegaard untuk separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-1.
Bersambung babak kedua, Erik Ten Haq dan Mikel Arteta melakukan beberapa pertukaran untuk memperkemaskan rentak permainan namun tetap gagal untuk menambah jaringan.
Pertembungan Arsenal dan United itu berlangsung dengan penuh drama apabila Arsenal dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-60 namun, ia dinafikan oleh video bantuan pengadil (VAR).
Pada minit ke-88, VAR sekali lagi memainkan peranannya apabila membatalkan gol jaringan Alejandro Garnacho selepas mengesan pemain antarabangsa Argentina itu berada pada kedudukan offsaid.
Ketika keputusan seperti berakhir 1-1, Rice muncul penyelamat apabila menjaringkan gol kedua Arsenal sebelum lima minit kemudian Jesus menambah derita United dengan meledak gol ketiga untuk keputusan berakhir 3-1.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan berada di kedudukan kelima carta liga dengan 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.-UTUSAN ONLINE