SAINT-ETIENNE, Perancis: Argentina membawa misi penting menjelang aksi Kumpulan D, Ragbi Piala Dunia menentang Samoa di Saint-Etienne, malam ini.
Kekalahan akan menunjukkan mereka jalan pulang lebih awal dan ketua jurulatihnya, Michael Cheika tidak mahu kesilapan pada aksi menentang England berulang, yang menyaksikan mereka tewas.
“Kami perlu lebih berdisiplin apabila melibatkan penalti, kerana dalam kejohanan ini penalti memberi kesan yang besar dalam permainan.
“Anda tidak perlu melakukan sesuatu yang ajaib, ia adalah mengenai bermain permainan kami secara berdisiplin dan lebih agresif,” kata Cheika.
Argentina atau turut dikenali sebagai Pumas, menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan D pada saingan Piala Dunia kali ini.
Begitupun, aksi pembukaan menyaksikan mereka tewas 27-10 kepada England, sebelum bangkit melakar kemenangan ke atas Jepun 34-12.
Argentina perlu meraih kemenangan ke atas Samoa bagi menghidupkan peluang merebut slot ke suku akhir.
“Anda boleh melihat tekanan yang akan datang, jika kalah atau menang tetapi saya lebih suka melihat apa yang kami ada untuk menang.
“Kami berlatih untuk berdepan tekanan ini. Tiada siapa memaksa kami melakukan ini kerana kami berjuang demi rasa penuh cinta kepada negara yang kami wakili.
“Berada di (Piala Dunia) adalah sesuatu yang istimewa. Kami sudah bersedia menghadapi perlawanan hebat menentang Samoa,” kata bekas kapten Agustin Creevy.
Sementara itu, jurulatih Samoa Seilala Mapusua menyeru anak buahnya memberi aksi yang terbaik kerana tiada peluang kedua apabila beraksi di sini.
“Pemain-pemain menyedari bahawa kami sudah berada dalam kejohanan ini dan tiada peluang kedua.
“Kami percaya jika kami berpegang kepada cara kami mahu bermain dan bermain dengan cara Manu Samoa maka saya yakin kami akan dapat menghentikan Argentina,” ujarnya. – AGENSI