Angie raih tiket ‘A+’ ke Sukan Kombat Dunia

Angie raih tiket ‘A+’ ke Sukan Kombat Dunia

ANGIE Yan Jia Chi meraih tiket ke Sukan Kombat Dunia 2023. - IHSAN PERSATUAN MUAYTHAI MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 13 tahun hilang dari radar Sukan Kombat Dunia (WCG), muaythai menjadi sukan pertama melayakkan diri ke WCG 2023 menerusi atletnya, Angie Yan Jia Chi yang dipilih oleh penganjur awal minggu ini.

Lebih manis, Angie, 19, akan bertanding bagi acara Wai Kru perempuan bawah 23 tahun terpilih oleh Persekutuan Persatuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) dengan meletakkannya di bawah kategori atlet A+ yang mana segala perbelanjaannya ditanggung penuh pihak penganjur.

Terdapat 15 jenis sukan pertarungan yang dibertandingkan dalam temasya itu dengan setiap satunya hanya membariskan lapan peserta terbaik dunia.

Atlet kelahiran Sabah itu terpilih selepas dia mencipta kejutan muncul juara dalam Kejohanan Dunia Muaythai pada Mei 2023 lalu bagi acara sama yang akan disertainya di Riyadh, Arab Saudi, Oktober nanti.

Presiden Muaythai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, Wai Kru (seni muaythai) merupakan acara baharu yang dipertandingkan dalam WCG dan sejak diperkenalkan di Malaysia tujuh tahun lalu, pihaknya mempunyai ramai pilihan untuk diketengahkan selepas melihat penyertaan memberangsangkan dalam Sukan Malaysia (Sukma).

“Nama penuhnya Wai Kru Mai Muay dan ini adalah kategori seni, sama seperti taekwondo yang ada poomsae, silat ada seni silat. Angie akan bertanding dalam Wai Kru individu perempuan.

“Kita dah bawa masuk grandmaster terbaik dunia datang ke Malaysia sejak 2016 lagi. Saya boleh katakan Malaysia sebenarnya negara yang mahir dalam acara ini sebab turut dipertandingkan dalam Sukma. Jadi, persatuan-persatuan negeri bersaing untuk memahirkan atlet mereka agar dapat mewakili negara.

“Untuk Angie sendiri, Persatuan Sabah aktif melibatkannya dalam banyak pertandingan. Jadi, dia sudah lama dapat pendedahan malah semasa Kejohanan Remaja Dunia Muaythai 2022 pun dia menang emas.

“Bagi saya sendiri ini adalah pencapaian yang membanggakan untuk Muaythai Malaysia kerana Angie dapat tajaan penuh penganjur dan temasya ini pun sama taraf dengan Olimpik bagi sukan kombat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir Malaysia beraksi dalam WCG adalah semasa Ali Yaacob memenangi pingat gangsa dalam kategori 54 kilogram di Being, China pada 2010.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya