LONDON: Liverpool ditawarkan bayaran luar biasa 215 juta pound (RM1.26 bilion) untuk Mohamed Salah.
Wakil kelab Arab Saudi, Al-Ittihad terbang ke London semalam bagi melancarkan usaha terakhir untuk mendapatkan bintang Mesir itu sebelum jendela perpindahan mereka ditutup pada Khamis ini.
Mereka terdesak untuk mendapatkan Salah dan telah membuat tawaran susulan 170 juta pound (RM999.30 juta) dan bayaran tambahan lain yang keseluruhannya mencecah 215 juta pound.
SunSport difahamkan Salah ditawarkan gaji 2.45 juta pound (RM14.40 juta) seminggu untuk meninggalkan Anfield dengan insentif tambahan.
Penyerang berusia 31 tahun itu digoda dengan peratusan besar jualan jersi, bonus kemenangan 55,000 pound (RM323,300) serta peranan sebagai duta untuk sekurang-kurangnya tiga syarikat utama Arab Saudi sepanjang tempoh kontraknya.
Itu mungkin bernilai tambahan 18 juta pound (RM105.81 juta) dengan setiap firma sanggup membayarnya 6 juta pound (RM35.27 juta) setiap satu. – AGENSI