PETALING JAYA: Hari pertama kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam berlangsung harmoni tanpa wujud konflik antara pemain kebangsaan dan profesional.
Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyediakan baju neutral tanpa logo penaja kepada semua pemain yang dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Hangzhou melancarkan latihan.
Pemain diberi baju latihan berwarna putih yang hanya tertera logo BAM dan bendera Malaysia, sekali gus memudahkan pemain profesional yang sebelum ini menghadapi kekangan untuk berlatih di ABM mengenakan baju yang bercanggah dengan logo penaja BAM.
Bagaimanapun hanya perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia belum melapor diri dan dijangka mula bersama skuad kebangsaan pada 22 September kerana mempunyai komitmen dengan penaja.
Bulan lalu, jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng meluahkan kekesalan terhadap badan induk itu apabila tidak membenarkan pemain profesional mengenakan baju latihan mengikut penaja peribadi mereka kerana dikatakan melanggar peraturan ditetapkan BAM.
“Sebelum ini ada isu mengenai baju latihan, kami ikutlah apa yang boleh kerana masing-masing ada kontrak sendiri.
“Tetapi sekarang sudah ada pilihan lebih baik apabila BAM memberi kami baju yang tiada logo penaja, ada logo Malaysia dan BAM sahaja, jadi kami ikutlah. Selepas keluar dari gelanggang, kami masih boleh pakai baju dari penaja kami sendiri.
“Baju ini pula digunakan apabila latihan di ABM sahaja, jadi kami ikut peraturan ditetapkan mereka,” jelas beregu lelaki profesional, Ong Yew Sin.
Nada sama turut dilontarkan perseorangan lelaki profesional, Cheam June Wei yang memuji tindakan dilakukan BAM bagi menyelesaikan dilema dihadapi mereka sebelum ini.
“Semua pemain ada terma dan syarat berlainan dengan penaja mereka, saya pula dengan penaja saya (Apacs) tidak menghadapi sebarang masalah, pemain lain saya tidak pasti.
“Bagi saya bila pakai baju sama seperti ini, saya berasa amat bangga kerana dapat dapat peluang masuk dalam pasukan ini.
“Harapan saya di Sukan Asia nanti, kami boleh membawa pulang pingat daripada acara berpasukan, kami harus bersatu sebagai satu pasukan,” jelas June Wei.