PETALING JAYA: Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Aleena Nawawi berjaya melakar sejarah tersendiri apabila merangkul kejuaraan beregu wantia dalam Kejohanan Boling Padang Dunia yang berlangsung di Gold Coast, Australia hari ini.
Pasangan Malaysia yang baru sahaja digandingkan tahun ini menumpaskan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022, Rebecca dan Connie-Leigh Rixon dari Malta dalam perlawanan akhir dengan keputusan 15-11 untuk ditabalkan sebagai juara.
Kejayaan ini juga sebagai penebus kekecewaan apabila Nabilah yang sebelum ini tewas di peringkat suku akhir acara tiga sepasukan kepada New Zealand ketika berpasangan dengan Syafiqa Haidar Rahman dan Azlina Arshad.
Kali terakhir wakil Malaysia berjaya dinobatkan sebagai juara dunia boling padang adalah menerusi perseorangan lelaki, Safuan Said ketika edisi 2008 di New Zealand.
“Ia adalah amat menakjubkan daripada kami berdua apabila berjaya menewaskan pasangan Malta. Kami amat gembira kerana ini adalah penampilan sulung kami di kejohanan dunia dan kami berjaya mendapatkan apa yang kami hajati,” jelas Nabilah.
Sementara itu, Aleena pula berbangga dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa walaupun mendapat tentangan sengit daripada lawan.
“Terima kasih kepada Ain kerana banyak membantu sekali gus membawa pulang emas untuk kami pada penyertaan kali ini,” katanya.
Ini merupakan pingat kedua negara di kejohanan ini selepas pasangan Malaysia, Idham Amin Ramlan dan Izzat Zulkeple berjaya menuai pingat gangsa dalam acara beregu lelaki tempohari. – UTUSAN ONLINE