KUALA TERENGGANU: Barisan pelumba tempatan, khususnya anak jati Terengganu seperti Nur Aiman Zariff dan Harrif Saleh memasang impian untuk melakar kejayaan pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang membuka tirai dari Kerteh ke Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu hari ini.
Sejak perlumbaan berprestij Asia itu diadakan pada 1996, belum ada pelumba tempatan pernah memenangi peringkat di Terengganu.
Justeru Aiman dan Harrif yang beraksi buat Terengganu Polygon Cycling (TSG) mencongak strategi terbaik bagi menamatkan penantian 27 tahun untuk menaiki podium di sini.
Aiman yang turun dengan status juara kebangsaan dan penyandang jersi bintik merah (dahulunya merah), Raja Bukit untuk dua tahun berturut-turut memasang misi baharu untuk mencabar jersi hijau (dahulu kuning), pendahulu keseluruhan.
“Saya memang ada perasaan itu (menang di laman sendiri) tetapi saya bukan turun hari pertama saingan untuk membaca taktikal pasukan lawan tetapi cuba untuk berada di kelompok hadapan juga, kalau boleh menang podium pada hari pertama.
“Macam kita tahu, belum pernah ada pelumba tempatan yang memakai jersi kuning di LTdL, jadi keinginan saya itu memang tinggi, dan mahu cuba untuk mendapatkannya pada hari pertama, lagi-lagi di Terengganu,” jelas Aiman yang bakal melakukan penampilan ketujuhnya di saingan ini sejak 2016.
Rakan sepasukannya, Harrif Salleh yang bertindak sebagai pakar pecut dalam TSG juga memasang cita-cita apabila dia hampir lagi menamatkan penantian dalam dua percubaannya sebelum ini.
Ketika edisi 2012, pada peringkat ke-10 dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu, Harrif menghabiskan perlumbaan di tempat keempat.
Tiga tahun kemudian ketika peringkat keempat dari Kota Bharu ke Kuala Berang, dia akur apabila sekadar berada di tempat keenam keseluruhan.
Pelumba berusia 35 tahun itu kini melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba paling banyak beraksi di LTdL dengan 14 penampilan sejak 2008.
Dia mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang pelumba Iran, Ghader Misbazni yang melakukan 13 penampilan.
“Pada edisi tahun ini, saya memang suka laluannya kerana banyak yang landai dan menjadi kegemaran untuk pelumba pecut.
Kalau ada peluang untuk pecut esok (hari ini), sudah pasti saya akan mengambil kesempatan itu,” kata Harrif yang ditemui pada sesi latihan pasukan semalam.