PETALING JAYA: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul pasangan ketiga Malaysia menempah slot separuh akhir selepas mengetepikan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di suku akhir badminton Terbuka China di Changzhou hari ini.
Pasangan No. 6 dunia itu bangkit daripada kekalahan di set pertama sebelum menang 19-21, 21-19, 21-11 dalam pertarungan sengit yang berlanjutan sehingga satu jam, dua minit.
Kemenangan tersebut juga menyaksikan Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod pertemuan ke atas pasangan profesional negara itu kepada 5-2.
Pada separuh akhir esok, juara dunia 2022 itu yang turun sebagai pilihan keempat akan berdepan pemenang di antara penyandang kejuaraan dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan atau beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.
Jika Min Hyuk-Sung Jae yang menjadi lawan Aaron-Wooi Yik maka, inilah peluang pasangan negara itu membalas dendam di atas kekalahan mereka pada separuh akhir Kejohanan Dunia di Denmark, bulan lalu. – UTUSAN ONLINE