PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tekad memanfaatkan baki lima bulan yang ada sebelum 2023 menutup tirai untuk memburu gelaran pertama dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF).
Sejak mula digandingkan pada 2017, Aaron-Wooi Yik belum berjaya menikmati kejuaraan dalam mana-mana kejohanan di bawah kalendar Jelajah Dunia BWF, biarpun pernah ditabalkan sebagai juara dunia tahun lalu.
Mereka hampir menamatkan penantian itu tahun ini, namun dua aksi finaliaitu di Terbuka India dan Indonesia menyaksikan mereka kecundang.
Kini mereka berpeluang menamatkan penantian apabila bersaing pada Terbuka China yang membuka tirai Selasa depan.
Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat gangsa Kejohanan Dunia minggu lalu mengakui cabaran untuk bergelar juara tidak mudah, namun yakin ia bukanlah misi yang mustahil.
“Sudah tentu kemenangan itu meningkatkan lagi tahap keyakinan kami, ia membuatkan kami lebih percaya terhadap kemampuan sendiri. Saya harap kami boleh kekalkan momentum ini.
“Apa yang berlaku di Kejohanan Dunia, kami anggap proses yang perlu dilalui. Namun, kami berjanji dalam mana-mana kejohanan kami sertai, kami akan beri yang terbaik.
“Walaupun kami mahu meraih gelaran pertama (dalam Jelajah Dunia) tetapi kami tidak mahu terlalu memikirkan mengenainya.
“Kami harap boleh pergi separuh akhir dan final terlebih dahulu, tidak mahu fikir juara dulu,” jelas Wooi Yik.
Di China, Aaron-Wooi Yik bakal turun sebagai pilihan keempat kejohanan akan menentang asangan Korea Selatan, Choi Solgyu-Kim Won Ho pada aksi pusingan pertama.
Sekiranya menang, mereka diramal bertemu pasangan tuan rumah, He Ji Ting-Zhou Hao Dong di pusingan kedua.