Zii Jia tamatkan 'badi' pusingan pertama

Zii Jia tamatkan ‘badi’ pusingan pertama

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas empat kali berturut-turut tersingkir seawal pusingan pertama, Lee Zii Jia berjaya mengelak nasib malang dengan melangkah ke pusingan pertama badminton Terbuka Australia di Sydney, hari ini.

Pemain No. 17 dunia itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan satu jam, empat minit dan bangkit daripada ketinggalan di set pembukaan untuk mengetepikan rakan senegara, Leong Jun Hao 12-21, 21-17, 21-16.

Bekas juara All England dan Asia itu sebelum ini kalah dalam pusingan pertama bermula dariTerbuka Singapura, Terbuka Indonesia, Terbuka Korea dan Terbuka Jepun.

Anak didik Wong Tat Meng itu kini akan menentang perseorangan lelaki India, Mithun Manjunath untuk perebutan tiket ke suku akhir esok.

Turut meneruskan kemaraan perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong yang menundukkan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama 21-18, 21-8.

NG TZE YONG

Tze Yong bakal berdepan cabaran getir pemain No. 5 dunia, Jonatan Christie pada pusingan kedua esok. Jonatan mara selepas menyingkirkan bekas pemain No. 1 dunia, Kento Momota dari Jepun 21-23, 21-14, 21-12.

Dalam saingan beregu campuran, tiga wakil negara melepasi halangan pertama masing-masing di Pusat Badminton Sydney.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang turun sebagai pilihan kelapan menumpaskan pasangan Korea Selatan/Australia, Lee Jae Sun-Charis Ho 21-10, 21-4 untuk menempah pertemuan dengan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia.

CHEN Tang Jie-Toh Ee Wei.

Turut mara gandingan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing yang mengalahkan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura
21-15, 21-17 untuk bertemu pilihan ketiga dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung.

Pasangan berpengalaman, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai pula mengetepikan Lu Ming Che-Hung En Tzu dari Taiwan 21-12, 11-21, 21-13.

Sementara itu dalam saingan beregu lelaki, pasangan profesional, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong kandas awal apabila tumpas 16-21, 21-16, 17-21 kepada Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Turut tersingkir awal beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tumpas 10-21, 21-14, 16-21 di tangan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya