PETALING JAYA: Legenda badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei meluahkan kekesalan terhadap perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng yang mencetus kontroversi tidak sepatutnya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
BAM menerusi Pengarah Pentadbirannya, Michelle Chai mengesahkan badan induk itu melaksanakan polisi buat pemain-pemain profesional yang datang berlatih ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara mengenakan pakaian yang tidak bercanggah dengan penajaan diterima badan induk itu.
Bagaimanapun Tat Meng menyatakan rasa tidak puas hati kerana ia dikuatkuasakan sebelum Kejohanan Dunia berlangsung minggu depan, dan merasakan mereka dibuli oleh pihak lebih besar.
Chong Wei jelas kecewa dengan situasi itu kerana beliau antara individu yang mencadangkan kepada BAM untuk membuka pintu buat pemain profesional berlatih di Bukit Kiara.
“Saya fikir peraturan yang dibuat BAM untuk pemain profesional adalah munasabah disebabkan komitmen dengan penaja mereka.
“Kenapa pasukan Zii Jia mahu menjadikan perkara ini sebagai isu ketika pemain profesional yang lain seperti Ong Yew Sin, Teo Ee Yi dan jurulatih mereka, Rosman Razak tidak mempunyai masalah.
“Zii Jia seperti sengaja mahu mencetuskan isu yang tidak sepatutnya.
“Dia sepatutnya lebih matang bagi menangani perkara ini dengan lebih bertanggungjawab.
“Dalam hal ini, anda perlulah menghormati badan induk sukan kebangsaan.
“Jika anda rasa ia adalah satu masalah dan anda tidak boleh untuk mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan, jangan datang,” kata Chong Wei yang juga pengurus skuad badminton negara ke Paris 2024.
Ketika ini keseluruhan skuad elit negara termasuk barisan profesional sedang bersiap untuk menghadapi
Kejohanan Badminton Dunia yang akan membuka tirai di Copenhagen, Denmark Isnin depan.