Zii Jia, enam beregu teruskan kemaraan pada Kejohanan Dunia

Zii Jia, enam beregu teruskan kemaraan pada Kejohanan Dunia

LEE Zii Jia tidak menyertai program RTG.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasrat untuk menyaksikan dua perseorangan lelaki negara bertemu sesama sendiri pada pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia tidak kesampaian selepas Ng Tze Yong tumpas awal di Copenhagen, Denmark awal pagi tadi.

Langkah Zii Yong disekat oleh pilihan ke-12 dari Denmark, Anders Antonsen 22-24, 16-21.

Itu bermakna, Antonsen kini akan berdepan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang tidak berdepan masalah menyingkirkan Brian Yang dari Kanada 21-11, 21-16.

“Setakat ini, saya menikmati kejohanan di sini dan harap dapat mengekalkan momentum,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

NG TZE YONG

Sementara itu enam pasangan negara – tiga lelaki, dua campuran dan satu wanita turut meneruskan cabaran di Royal Arena.

Juara bertahan dan pilihan keempat kejohanan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengetuai kemaraan beregu lelaki bersama Ong Yew Sin-Teo Ee Yi serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Aaron-Wooi Yik dipaksa berhempas pulas untuk menumpaskan pasangan tuan rumah, Jeppe Bay-Lasse Molhede 18-21, 21-14, 21-16, sekali gus menempah pertemuan dengan juara Olimpik, Li Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

AARON CHIA-SOH WOOI YIK (AFP)

Yew Sin-Ee Yi, pilihan ketujuh kejohanan akan berdepan Kim Astrup-Anders Rasmussen dari Denmark selepas menyingkirkan beregu Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 21-16, 18-21, 21-12.

Wei Chong-Kai Wun pula mencatat kemenangan percuma ke atas pasangan Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho yang menarik diri.

Dalam beregu wanita, sandaran terus diletakkan kepada Pearly Tan-M. Thinaah yang meneruskan kemaraan selepas mengalahkan pasangan Scotland, Julie MacPherson-Ciara Torrance 21-15, 21-10.

Turun sebagai pilihan ke-10, Pearly-Thinaah kini bakal berdepan cabaran getir beregu Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara.

PEARLY TAN-M. THINAAH

Sementara itu, cabaran negara dalam beregu campuran diteruskan oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Pasangan profesional negara, Soon Huat-Shevon mudah menundukkan pasangan Bulgarian, Iliyan Stoynov-Hristomira Popovska 21-11, 21-8 untuk menentang pilihan kelapan dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Tang Jie-Ee Wei pula menewaskan Reginald Lee-Ng Tsz Yau dari Hong Kong, 21-19, 21-9.

Pilihan ke-14 itu akan berdepan pilihan ketujuh dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue pada pusingan ketiga.

Gandingan profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas dalam acara beregu campuran apabila kecundang 21-15, 21-18 di tangan beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Beregu wanita Anna Cheong-Teoh Mei Xing pula kalah 21-13, 21-11 kepada satu lagi gandingan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya