PETALING JAYA: Umar Usman terus melakar sensasi apabila memecah rekod 400 meter (m) kebangsaan buat kali kedua dalam tempoh 24 jam.
Atlet berusia 20 tahun itu mencatat kepantasan 46.09 saat (s) pada separuh akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China, sebentar tadi.
Umar memadam catatan 46.33s yang dilakukan di peringkat saringan semalam.
Ini rekod kebangsaan ketiga yang dicatat atlet kelahiran Johor itu dalam tempoh tiga bulan.
Pada Sukan SEA di Phnom Penh, Mei lalu, dia mencatat masa 46.34s untuk memecah rekod kebangsaan berusia 22 tahun milik Zaiful Zainal Abidin iaitu 46.41s.
Umar menamatkan saringan ketiga separuh akhir hari ini di tempat ketiga di belakang atlet Australia, Reece Nathaniel Holder (45.75s) dan Kenki Imaizumi dari Jepun (46.01s).
Kejayaan itu melayakkan Umar beraksi dalam perlumbaan akhir esok. – UTUSAN ONLINE