PETALING JAYA: Umar Osman menghampiri impian mencatat larian bawah 46 saat (s) dalam acara 400 meter (m) selepas memecah rekod kebangsaan buat kali ketiga tahun ini.
Semalam, atlet berusia 20 tahun itu melakar sensasi memahat rekod kebangsaan kedua dalam tempoh 24 jam dengan kepantasan 46.09s pada separuh akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 di Chengdu, China.
Umar memadam catatan 46.33s yang dilakukan di peringkat saringan kelmarin, iaitu rekod kebangsaan ketiganya dalam tempoh tiga bulan.
Pada Sukan SEA di Phnom Penh, Mei lalu, dia memadam rekod berusia 22 tahun milik Zaiful Zainal Abidin dengan dengan mencatat masa 46.34s.
Kejayaan itu membawanya ke perlumbaan akhir yang akan berlangsung pada pukul 6 petang ini.
“Hari ini (semalam) saya berlari lebih laju hampir 30 detik daripada semalam (kelmarin), namun untuk mendapat masa 45s, saya perlu bekerja keras dan membuat lebih baik.
“Insya-Allah saya akan cuba buat yang lebih baik dalam Sukan Asia (Hangzhou, bulan depan) nanti,” kata Umar.
Sementara itu, juara 100 dan 200m pada Sukan SEA 2003, Nazmizan Muhammad percaya, Umar berada di landasan untuk menjadi atlet Malaysia pertama mencatat masa bawah 46s, namun dengan syarat segala keperluannya dipenuhi, malah lebih banyak jika dihantar ke luar negara.
“Kalau nak hantar ke luar negara pun bagus juga. Beri sokongan keperluan yang Umar perlu pun ok jugak dan terus kekal berlatih bawa jurulatih dia sekarang.
“Selain itu, hantar dia ke kejohanan luar negara yang ada pelari catat masa bawah 46s kerana kalau di Malaysia Umar sukar dapat saingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Saringan ketiga separuh akhir semalam dimenangi atlet Australia, Reece Nathaniel Holder dengan catatan 45.75s, diikuti Kenki Imaizumi dari Jepun (46.01s) di tempat kedua.