PETALING JAYA: Ng Tze Yong perlu belajar mengatasi musuh utamanya, iaitu diri sendiri sendiri jika mahu menempatkan diri dalam kelompok pemain elit setelah perjalanannya pada Kejohanan Badminton Dunia terkandas di pusingan kedua.
Semalam, pemain No. 22 dunia itu hampir berjaya menyaingi pemain tuan rumah, Anders Antonsen sebelum dia gugup dan gagal mengawal perasaan itu sehingga tumpas 22-24, 16-21.
Tambah pula, Antonsen turut mendapatkan sokongan padu penyokong tempatan dalam aksi yang berlangsung di Royal Arena.
Keputusan itu mengulangi skrip tahun lalu di Tokyo, apabila Tze Yong yang membuat penampilan sulung kandas di pusingan kedua di tangan pemain Thailand, Sitthikom Thammasin.
Terdahulu di pusingan pertama, Tze Yong berjaya mencipta kejutan apabila menyingkirkan penyandang pingat gangsa Kejohanan Dunia edisi lalu, Zhao Jun Peng.
“Tiada alasan. Tze Yong tewas kepada lawan yang lebih bagus hari ini (semalam), yang lebih matang dan berpengalaman.
“Dia sudah cuba beri yang terbaik, dan ini keputusan terbaik yang kami mampu hasilkan ketika ini. Masih ada banyak ruang untuk diperbaiki,” jelas Hendrawan.
Anak jati itu Johor mempunyai dua kejohanan selepas ini, iaitu Terbuka China yang akan bermula 5 September, disusuli Terbuka Hong Kong sebelum tumpuannya beralih ke Sukan Asia Hangzhou yang membuka tirai pada 23 September depan.