PETALING JAYA: Hendrawan melakukan pelbagai perancangan bagi memastikan Ng Tze Yong mampu menjadi ‘pembunuh gergasi’ apabila turun dalam Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark bulan ini.
Prestasi pemain No. 22 dunia itu tahun ini amat memberangsangkan apabila berjaya mengejutkan beberapa bintang dunia dalam kejohanan antarabangsa.
Antara yang pernah menjadi mangsa Tze Yong pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen (All England), juara dunia 2021, Loh Kean Yew (Terbuka Jepun), dan beberapa pemain yang berada di ranking lebih tinggi seperti Angus Ng Ka Long, Chou Tien Chen serta Kanta Tsuneyama dan Jonatan Christie.
Tze Yong, 23, juga hampir menjinakkan bekas abang segurunya, Lee Zii Jia pada suku akhir Terbuka Australia minggu lalu, namun tewas dalam aksi sengit 21-17, 24-26, 19-21.
Jurulatihnya, Hendrawan menyifatkan ini petanda baik biarpun Tze Yong menerima undian getir berdepan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia, Zhao Jun Peng dari China di pusingan pertama.
Jika menang, jaguh Denmark, Anders Antonsen pula akan menunggu pada pusingan kedua dalam kejohanan yang berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos.
“Apabila berada di kejohanan besar seperti ini, Tze Yong tidak punya pilihan kecuali berdepan pemain terbaik dunia di peringkat awal, apatah lagi dia belum berada dalam kelompok pemain utama.
“Tze Yong sudah mempunyai standard, dan asalkan dia mampu mengeluarkan semua ilmu yang ada pada hari pertandingan, dia mampu menang. Dia akan bertemu Jun Peng dan mungkin Antonsen di pusingan pertama dan kedua.
“Kedua-dua pemain ini dia belum pernah jumpa, jadi ia bakal menjadi sesuatu yang menarik, dari segi persiapan di pihak kami adalah amat baik, jadi kami akan cuba yang terbaik di sana. Yang penting satu demi satu, bermula dengan Jun Peng.
“Dalam beberapa hari ini sebelum Kejohanan Dunia, kita akan memulakan analisa perlawanan lawan kerana Tze Yong akan berjumpa pemain yang dia tidak pernah lawan, Jun Peng dan Antonsen, jadi kita akan utamakan dua perlawanan pertama ini dahulu,” jelas Hendrawan.