LONDON: Masa depan Harry Kane terus mencetus tanda tanya selepas Tottenham menolak tawaran ketiga Bayern Munich untuk mendapatkan penyerang England itu.
Bayern mengemukakan tawaran terbaharu bernilai 86 juta pound (RM502 juta), namun ia tidak cukup untuk meyakinkan Pengerusi Spurs, Daniel Levy.
Gergasi bola sepak Jerman itu kini perlu meningkatkan tawaran atau mengaku kalah untuk mendapatkan Kane yang bakal tamat kontrak musim depan.
Kane yang memasuki 12 bulan terakhir kontraknya tidak menunjukkan tanda untuk menandatangani kontrak baharu, dan dia mahu masa depannya diputuskan sebelum aksi pertama Tottenham menentang Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad ini.
Sekiranya tiada tawaran baharu, Spurs berisiko kehilangan kapten England itu secara percuma pada musim panas akan datang.
Kane bebas untuk menandatangani pra-kontrak dengan kelab luar negara mulai Januari tahun depan.
Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan empat gol ketika Tottenham membelasah Shakhtar Donetsk dalam perlawanan persahabatan pramusim di Stadium Tottenham Hotspur, Ahad lalu. – AGENSI