Tiga gelaran Skuasy Remaja Asia berada dalam genggaman Mala

Tiga gelaran Skuasy Remaja Asia berada dalam genggaman Malaysia

AIRA Azman memburu gelaran keenam pada penampilan terakhirnya pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia di Dalian, China, esok. - Ihsan Persekutuan Skuasy Asia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mendominasi pentas akhir untuk tiga kategori iaitu bawah 19 tahun lelaki dan perempuan serta bawah 13 tahun selepas enam wakil negara di jadual bertembung sesama sendiri bagi merebut gelaran pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia di Dalian, China, esok.

Dalam separuh akhir, hari ini di Dewan Gimnasium Xiqang, juara bertahan dan pilihan pertama, Aira Azman yang memburu gelaran keenamnya mengetepikan pemain India, Pooja Arthi 11-5, 11-6, 11-3 bagi kategori bawah 19 tahun.

Lawan yang menanti Aira pada final ialah rakan senegara, K. Sehveetrraa yang menumbangkan Tobby Tse dari Hong Kong 11-3, 11-4, 11-9.

Aira ketika dihubungi berkata, dia akan berdepan Sehveetrraa yang pernah ditemuinya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Sehveetrraa mempamerkan persembahan yang baik sepanjang kejohanan ini dan saya harap dapat berikan yang terbaik pada final, esok.

“Saya menjangkakan Sehveetrraa bakal memberikan tentangan sengit, memandangkan kami saling mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Dalam saingan lelaki pula untuk kategori sama menyaksikan Joachim Chuah yang diletakkan selaku pilihan pertama menundukkan wakil India, Shaurya Bawal 11-5, 11-6, 11-5.

Joachim turut memilih laluan sama dengan Aira, apabila dia perlu berdepan teman senegara, Harith Danial Jefri yang menewaskan pemain Korea Selatan, Oh Seo Jin 9-11, 11-8, 11-4, 11-9 pada peringkat empat terbaik.

Sementara itu, untuk kategori perempuan bawah 13 tahun, dua pemain Malaysia, M. Jnoreeka Ning dan Niea Chew turut berentap sesama sendiri dalam perlawanan akhir.

Jnoreeka menewaskan wakil Hong Kong, Li Ka Man 11-4, 11-2, 12-10, manakala, Niea dipaksa bekerja keras sebelum mengatasi pemain Singapura, Kayla Choy 11-8, 11-8, 11-4.

Malaysia turut memiliki wakil dalam perlawanan akhir untuk kategori lelaki bawah 17 dan lelaki serta perempuan bawah 15 tahun.

JOACHIM Chuah bakal berdepan rakan senegara, Harith Danial Jefri dalam final lelaki bawah 19 tahun pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia di Dalian, China, esok. – Ihsan Persekutuan Skuasy Asia

Low Wa Sern bakal berdepan pilihan pertama, Na Jooyoung dari Korea Selatan untuk aksi lelaki bawah 17 tahun, manakala, bagi kategori lelaki bawah 15 tahun, Jayden Ong melakar kejutan besar apabila menundukkan pilihan pertama, Aryaveer Dewan dari India 13-11, 4-11, 11-9, 4-11, 11-6.

Turut melangkah ke perlawanan akhir adalah Herleein Tan (perempuan bawah 15 tahun) setelah dia menumpaskan pemain Hong Kong, Lau Wai Tung 11-3, 11-8, 11-7.

Tugas berat menanti Herleein apabila dia bakal berdepan pilihan pertama, Helen Tang dari Hong Kong pada final, esok.

Jurulatih skuasy negara, Shahril Shahidan berkata, secara keseluruhan, barisan pemain negara berjaya mencapai sasaran khususnya untuk kategori bawah 19 tahun, manakala, kejutan dicipta oleh anak-anak buahnya dalam kategori bawah 17 dan 15 tahun.

“Jadi tiga emas dalam tangan Malaysia dan kami berharap yang lain akan beraksi dengan baik, esok,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya