KUALA NERUS: Naib juara Liga Super musim lalu, Terengganu FC (TFC) yakin dapat menamatkan kempen 2023 di tempat tiga teratas dengan saingan berbaki enam perlawanan.
Pengurus pasukan, Mohd. Fazil Wahab berkata, TFC di landasan tepat memburu kelompok atasan selepas aksi tidak konsisten memaksa skuad Penyu kini di kedudukan keenam memungut 32 mata.
Menurutnya, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner menunjukkan peningkatan prestasi dengan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan terakhir dan terbaharu membelasah Kelantan FC 8-0, kelmarin.
“Kita hanya tumpas di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT), Jun lalu, kemudian kurang bernasib baik seri dengan KL City FC, PDRM FC dan Negeri Sembilan walaupun mendominasi permainan.
“Melihat kepada prestasi semasa, saya optimis TFC boleh menempatkan diri di tempat tiga terbaik berbaki enam perlawanan sambil berharap pasukan lain turut keciciran mata.
“Kehadiran tonggak, Nurillo (Tukhtasinov) tepat pada masanya dengan menjadi jeneral di bahagian tengah dan telah membantu pemain lain beraksi lebih baik,” katanya ketika ditemui hari ini.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/08/WhatsApp-Image-2023-08-08-at-10.41.55-PM-600x400.jpeg)
Mohd. Fazil menjelaskan, TFC harus mengutip mata penuh dengan tiga daripada enam baki perlawanan liga di tempat sendiri bertemu Selangor FC, Sabah dan Perak.
Selain itu katanya, pasukan itu juga mengintai peluang melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia sekaligus mengubat kekecewaan tersingkir di separuh akhir Piala FA.
“Moral skuad Sang Penyu kini berada pada tahap terbaik dan di bawah bimbingan Steinbruckner, kami berupaya mengekalkan rentak kemenangan selepas ini.
“Lebih-lebih lagi bagi saingan Piala AFC yang bermula September ini sehingga Mei tahun depan, kita akan menyiapkan barisan pemain yang kompetitif dan lebih mantap,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE