KUALA LUMPUR: Terengganu FC tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran pasukan Liga M3, KL Rovers 4-0 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut meletakkan Terengganu sebelah kaki ke peringkat suku akhir dan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner juga dijangka tidak berdepan masalah untuk melayan KL Rovers dalam aksi timbal balik pada 18 Ogos ini.
Dalam aksi pertama itu, KL Rovers yang juga pendahulu Liga M3 tampil dengan corak permainan menarik pada awal permainan namun, semua itu tidak cukup untuk mengekang Terengganu yang berstatus pasukan Liga Super.
Benteng pertahanan kental KL Rovers hanya bertahan selama 17 minit apabila mereka dibolosi menerusi jaringan Ivan Mamut yang menyambut hantaran Sony Norde di dalam kotak penalti.
Pada penghujung babak pertama, Mamut sekali lagi mencatat nama selaku penjaring untuk memastikan Terengganu memasuki bilik persalinan dengan bekalan dua gol.
Bersambung babak kedua, Terengganu hanya memerlukan enam minit untuk menjarakkan kedudukan menerusi penyudah Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yaacob untuk meletakkan skuad Penyu 3-0 di hadapan.
Malam gemilang Terengganu turut menjadi hari ceria buat Mamut apabila berjaya meledak hatrik apabila menjaringkan gol keempat Terengganu pada minit ke-66, sekali gus memberikan pasukan bekalan selesa untuk aksi timbal balik.-UTUSAN ONLINE