Tat Meng bengang polisi baru BAM

Tat Meng bengang polisi baru BAM

WONG Tat Meng (kanan) bersama anak didiknya, Lee Zii Jia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng tanpa berselindung meluahkan kekecewaannya terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila mengenakan polisi baru buat barisan pemain profesional yang ingin berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Ia selepas BAM mewajibkan pemain profesional untuk tidak memakai pakaian sukan jenama yang bercanggah dengan tajaan kem kebangsaan.

Skuad kebangsaan menerima tajaan pakaian sukan Yonex, manakala ada sesetengah pemain, khususnya Zii Jia dan pasukannya mendapat tajaan daripada jenama Victor.

Tat Meng, 55 tahun ternyata terkejut dengan polisi ini memandangkan skuad profesional negara sedang dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark yang bermula 21 Ogos depan.

“Sebelum Kejohanan Dunia, BAM memaklumkan pada kami bahawa mereka mewajibkan pemain profesional tidak memakai pakaian sukan jenama selain daripada penaja BAM jika mereka ingin menjalankan latihan bersama pada hari Rabu.

“Saya benar-benar terkejut dengan peraturan ini memandangkan ianya dikuatkuasa ketika persiapan menjelang Kejohanan Dunia.

“Sejak Disember tahun lalu, BAM telah menjemput Lee Zii Jia untuk berlatih bersama pemain naungan BAM setiap hari Rabu dan kami berbesar hati kerana dapat mencapai situasi menang-menang termasuk membantu pemain BAM meningkatkan tahap mereka.

“Konflik penajaan bukan sahaja pertimbangan BAM, begitu juga untuk pasukan kami yang bukan sahaja membabitkan Zii Jia, tetapi barisan jurulatih serta pakar kecergasan dan fisio kami, oleh kerana itu kami tidak dapat memenuhi jemputan latihan ke ABM sebelum terbang ke Denmark.

“Apabila BAM menegaskan perkara ini ketika membuat persiapan untuk pertandingan besar saya secara peribadi berasa seperti dibuli oleh orang besar.

“BAM sering berkata tidak kira pemain kebangsaan mahupun pemain profesional, mereka semua adalah pemain Malaysia, dan kegemilangan dikongsi bersama. Tetapi peraturan ini tidak melambangkan rasa bersama itu,” luah Tat Meng menerusi laman media sosialnya hari ini.

BAM mula membuka pintu buat barisan pemain profesional kembali berlatih ke ABM, Bukit Kiara sejak penghujung November tahun lalu, namun dihadkan untuk pemain yang berada dalam kelompok 20 terbaik dunia bagi dua sesi seminggu, iaitu pada Rabu dan Jumaat.

Tat Meng terpaksa meluahkan perkara ini bagi mengelakkan pandangan orang luar bawah pihaknya enggan bekerjasama dengan BAM.

“Harap perkara ini dapat dibincangkan pada masa akan datang memandangkan ia adalah merugikan jika kerjasama antara BAM dan pemain profesional tidak dapat diteruskan. Pada penghujung harinya sebarang kebaikan dan kejayaan adalah demi Malaysia,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya