COPENHAGEN: Beregu campuran negara, Chen Tan Jie dan Toh Ee Wei meneruskan momentum kemenangan apabila menundukkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dalam pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark hari ini.
Sebelum perlawanan berlangsung, Gicquel dan Delrue memiliki kelebihan memandangkan mereka diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan.
Begitupun Tang Jie dan Ee Wei menunjukkan semangat juang tinggi untuk mengesahkan slot ke suku akhir esok apabila melakar kemenangan 20-22, 21-19, 21-12 selepas bertarung selama 74 minit.
Mereka terpaksa menanti perlawanan di antara pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dan pilihan kedua kejohana, Yuta Watanabe-Arisa Higashino bagi mengetahui lawan mereka esok.
Impian untuk melihat rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tersungkir di tangan pilihan kelapan kejohanan, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dengan keputusan 21-16, 21-18.
Turut sama cemerlang merupakan beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah yang menyingkirkan pilihan keempat kejohanan, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahari dengan keputusan 21-14, 22-20.
Mereka bakal berdepan dengan pilihan keenam kejohanan, Zhang Shu Xian dan Zheng Yu dari China di peringkat suku akhir.
Atas kertas, ia menjadi tugas yang mencabar buat pasangan negara ini memandangkan tiga pertemuan mereka ke atas gandingan China, kesemuanya berakhir dengan kekalahan.
Kali terakhir mereka berentap adalah ketika Terbuka Australia awal bulan ini, yang berkesudahan dengan keputusan 20-22, 21-17, 17-21.