Tak kecewa, Solari anggap seri pengajaran berguna

Tak kecewa, Solari anggap seri pengajaran berguna

PENYERANG JDT Bergson Da Silva melonjak tinggi untuk menanduk bola ke gawang Kedah dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Esteban Solari menganggap kejayaan Kedah menghentikan catatan kemenangan 100 peratus Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini sebagai pengajaran berguna kepada anak-anak buahnya menjelang Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak lama lagi.

Menurut ketua jurulatih dari Argentina itu, keputusan tersebut menjadikan anak-anak buahnya lebih merendah diri serta sedar ‘ulang kaji’ perlu dilakukan sebagai persediaan untuk membuka tirai perlawanan di peringkat Asia.

Dari sudut positif katanya, seluruh pasukan kini juga sedar masih banyak perkara perlu ditambah baik dalam pasukan itu jika mereka benar-benar mahu bersaing dalam kejohanan tersebut.

“Pertamanya kami tidak masuk ke perlawanan ini dengan cara yang betul terutamanya persediaan mental. Kami tak bermula seperti yang sepatutnya dan dapat dilihat bagaimana kami sukar melawan serta gagal pamerkan karakter sebenar pada separuh masa pertama.

“Kami seakan terlalu membiarkan mereka melakukan banyak perkara pada separuh masa pertama tetapi saya berbangga dengan cara pemain memberi reaksi untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol pada separuh masa kedua.

“Kami turut mencipta lebih banyak peluang tetapi dalam masa sama, pintu gol JDT dibolosi dua kali akibat situasi bola mati. Ia perlu diberi perhatian kerana dalam ACL, pasukan lain tidak akan benarkan anda buat silap kerana mereka sentiasa akan ambil kesempatan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Sang Kenari mengejutkan pasukan pelawat apabila terlebih dahulu memimpin perlawanan menerusi dua gol dihasilkan Ifedayo Olusegun serta Manuel Ott pada minit ke-35 dan 50.

JDT kemudian bangkit menjaringkan tiga gol pada minit ke-51, 55 dan 73 menerusi Corbin Ong, Heberty Fernandes serta Arif Aiman namun hasrat mereka mencatat kemenangan terbantut apabila Amirbek Juraboev menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

Sementara itu Solari berkata, beliau tidak kecewa dengan keputusan seri tersebut yang turut menangguhkan ‘pesta JDT’ untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.

“Tiada kekecewaan langsung dan apa lagi yang boleh saya katakan kepada pemain setelah mereka beri 20 kemenangan berturut-turut dalam liga sejak saya di sini dan saya tidak tahu berapa banyak lagi kemenangan akan diberikan selepas ini.

“Saya tahu untuk Kedah, keputusan seri ini adalah kemenangan besar buat mereka tetapi bagi kami ini bukan apa-apa melainkan satu proses pembelajaran. Kami akan buka lembaran baharu untuk terus meningkat dan tiada ruang untuk kami berputus asa,” katanya.

JDT perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga 29 September depan ketika bertemu PDRM untuk mengesahkan kejuaraan Liga Super musim ini selepas liga berehat sementara bagi memberi laluan kepada suku akhir Piala Malaysia dan ACL.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya