PETALING JAYA: Berpuas hati dengan jaringan besar yang diraih Terengganu FC ketika membelasah KL Rovers 4-0 dalam aksi pertama Piala Malaysia kelmarin, Tomislav Steinbruckner mahu kemenangan selesa turut dicipta pada perlawanan timbal balik, 18 Ogos nanti.
Jurulatih dari Croatia itu juga gembira dengan hatrik yang disempurnakan Ivan Mamut dan mahukan pemain itu terus ‘mengganas’ bukan sahaja dalam kempen Piala Malaysia, malah Liga Super.
“Saya gembira dengan keputusan dan permainan ini kerana pemain berjaya menjaringkan empat gol dan menjadikan saingan kedua nanti lebih mudah. Saya berikan peluang kepada beberapa pemain yang kurang bermain sebelum ini dalam Liga Super.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati walaupun perlawanan ini nampak seperti mudah tetapi sejak awal ianya adalah perlawanan yang sukar.
“Mamut menjaringkan tiga gol dan mungkin boleh menjaringkan lebih lagi. Dia perlu menjaringkan gol kerana dia mempunyai kualiti tetapi kadang kala saya mengharapkan lebih darinya.
Hari ini tiga gol baik untuknya dan juga pasukan dan saya jangkakan persembahan yang sama pada perlawanan akan datang,” katanya.
Dengan kelebihan selesa itu, Steinbruckner juga memberi bayangan akan merehatkan pemain utama pada perlawanan timbal balik dan memberikan lebih ruang buat pemain muda beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Kami selesa mendahului empat gol dan ini adalah sasaran kami supaya kami dapat merehatkan pemain utama dan memberi peluang kepada pemain B-23 tahun seperti dalam perlawanan ini kerana ianya penting untuk masa depan kelab.
“Jika anda lihat, pada satu ketika, barisan belakang kami dibarisi pemain muda seperti Rahadiazli, Ubaidillah, Azam Azmi dan Safwan Mazlan yang mana mereka adalah pemain utama dalam skuad B-23 tahun kebangsaan,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu tiga gol Mamut dan satu jaringan Engku Nur Shakir Engku Yacob sudah cukup untuk memberikan kelebihan selesa buat Terengganu yang kini sudah sebelah kaki ke peringkat suku akhir.