KUALA LUMPUR: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) perebutan pingat dalam Sukan Asia bulan depan amat sengit, namun yakin pemain negara berpeluang membawa pulang sekurang-kurangnya dua emas.
Pengarah Kejurulatihan SRAM, Major (b) S. Maniam berkata, jurang prestasi antara Malaysia dengan dua pencabar utama, seperti India dan Hong Kong sangat rapat, malah mana-mana pemain mampu dikejutkan biarkan memiliki ranking tinggi.
“Jujurnya, semua acara kita ada peluang. Kita boleh pulang dengan paling tidak dua emas ataupun tidak ada langsung. Ini kerana persaingan terlalu rapat.
“Apapun, kita harap pemain akan dapat paling tidak dua emas daripada lima acara disertai.
Persaingan di Asia untuk semua lima acara terlalu rapat dan kita harap boleh dapat paling tidak dua emas nanti,” katanya selepas menerima lawatan Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Malaysia akan menyertai lima acara iaitu perseorangan lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita serta berpasukan campuran.
“Untuk berpasukan campuran lelaki, India adalah pesaing kuat, selain Hong Kong, malah Malaysia pun tersenarai sebagai pencabar digeruni. Ketiga-tiga ini boleh membuat kejutan.
“Di Sukan Asia yang lalu, Hong Kong diletakkan sebagai pilihan utama untuk menang tetapi kita berjaya tewaskan mereka.
“Saya harap, kita dapat lakukannya sekali lagi. Untuk berpasukan wanita pula, tiga negara; Hong Kong, India dan Malaysia.
“Hong Kong dan Malaysia akan bersaing untuk pingat, manakala dalam perseorangan wanita, S. Sivasangari dan Aira Azman akan bermain. Sivasangari yakin dengan prestasinya dan sudah berlatih gigih untuk temasya ini.
“Dia mempunyai harapan untuk berada di pentas podium dan ini juga harapan kami. Ada juga persaingan sengit untuk acara wanita, tetapi saya boleh letak Sivasangari di kelompok tiga terbaik pada masa ini.
“Untuk individu lelaki, Ng Eain Yow adalah pemain yang berada di ranking tinggi tetapi ada juga yang lain seperti dari Qatar, Kuwait, Pakistan dan Hong Kong. Sekali lagi, persaingan itu terbuka,” kata Maniam.
Dalam edisi Sukan Asia 2018 di Indonesia, skuasy membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa dengan kedudukan di tangga kedua keseluruhan pungutan pingat, manakala Hong Kong muncul juara dengan dua emas dan dua perak.
India pula berada di kedudukan ketiga selepas meraih satu perak dan empat gangsa manakala Jepun dan Pakistan berkongsi kedudukan keempat apabila masing-masing membawa pulang satu gangsa. – UTUSAN ONLINE