PETALING JAYA: Skuad hoki 5 sebelah (5s) wanita negara layak secara merit ke Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman 2024 selepas menduduki tempat ketiga Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 yang berlangsung di Salalah, Oman.
Dalam penentuan tempat ketiga sebentar tadi, skuad kendalian Nabil Fiqri Mohd Noor itu menang 2-1 ke atas Indonesia dalam penentuan shoot out selepas kedua-dua pasukan 4-4 dalam masa permainan sebenar.
Malaysia yang ketinggalan 1-4 berjaya untuk bangkit mengikat kedudukan 4-4 yang seterusnya mengheret perlawanan ke penentuan shoot out dan menutup kempen selaku pasukan di kedudukan ketiga terbaik.
Jaringan shoot out Malaysia disempurnakan oleh Zati Alyani Muhamad Zubir dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri membantu Malaysia untuk memenangi perlawanan hari ini selain ketangkasan penjaga gol negara, Siti Noor Hafiza Zainordin.
Dalam masa sebenar, Malaysia dikejutkan dengan jaringan pembukaan Indonesia menerusi gol ‘challenge’ Paulina Ronsumbre pada minit kelapan diikuti dua gol padang berturut-turut Salma Maulani pada minit ke-10 dan 13.
Malaysia cuba untuk bangkit menerusi gol Zati Alyani Muhamad Zubir pada minti ke-14 namun beberapa saat kemudian Indonesia menambah satu lagi gol menerusi Nisa Indira untuk mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Malaysia dihadiahkan dengan penalti stroke dan Nurul Safiqah Mat Isa memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada jaringan sebelum Thibatharshini James merapatkan kedudukan 3-4 pada minit ke-27.
Beberapa saat sebelum aksi sebenar tamat, Kapten Negara, Nur Syafiqah Mohd Zain muncul penyelamat dengan menjaringkan gol penyamaan 4-4 hasil gerakan padang yang sekaligus mengheret perlawanan ke penentuan shoot-out.
Tiga pasukan terbaik di Kejohanan Hoki 5’s Piala Asia 2023 layak secara merit ke Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman yang akan berlangsung pada 24 hingga 31 Januari tahun hadapan.-UTUSAN ONLINE