PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, S. Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan pertama menepati ramalan menempah slot ke suku akhir pada Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Sivasangari yang menghuni ranking ke-49 dunia itu hanya mengambil masa selama 16 minit untuk mengetepikan cabaran pemain remaja negara, K. Sehveetrraa 11-4, 11-1, 11-1 pada pusingan kedua.
Esok, anak kelahiran Kedah itu akan berdepan rakan senegara, Chan Yiwen yang menumpaskan seorang lagi wakil Malaysia, Yu Jie 13-11, 11-2, 11-4 dalam masa 20 minit.
Juara remaja Asia, Aira Azman yang diletakkan selaku pilihan kedua diberi tentangan sengit oleh rakan seperjuangan, Wong Heng Wai 13-11, 11-8, 11-7.
Lawan yang menanti pemain berusia 19 tahun itu di suku akhir ialah pilihan kelima, Menna Hamed dari Mesir.
Pilihan keempat, Noor Ainaa Amani Ampandi tidak berdepan masalah menyingkirkan pemain negara yang mendapat tiket wild card, Goh Zhi Xuan 11-5, 12-10, 11-1.
Pada peringkat lapan terbaik, Ainaa akan berdepan seorang lagi pemain Malaysia, J. Yasshmita yang menundukkan wakil Mesir, Nour Khagafy dalam pertarungan sengit 8-11, 12-10, 11-3, 11-7.
Ainaa ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, esok, dia akan bertemu Yasshmita dan fokusnya pada pertemuan itu ialah kepada persembahannya sendiri.
“Saya hanya pernah bertemu dengan Yasshmita sekali iaitu pada Sukan Malaysia, tahun lalu, saya menang 3-0.
“Saya tak boleh ambil mudah untuk perlawanan esok, saya cuma mahu tumpu kepada permainan saya dan jangan terlalu tertekan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, pilihan ketiga, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pemain muda negara yang sedang meningkat naik, C. Ameeshenraj 8-11, 11-7, 11-4, 11-4.
Pada suku akhir, Addeen akan menghitung pertemuan dengan wakil Mesir, Yassin Elshafei yang memegang status sebagai pilihan kelima.
Seorang lagi perseorangan lelaki Malaysia, Ivan Yuen yang diletakkan sebagai pilihan keempat mengalahkan rakan senegara, Mohamad Syafiq Kamal 11-4, 11-2, 7-11, 11-9.
Pada peringkat seterusnya, Ivan bakal berdepan pilihan keenam Yannick Wilhelmi dari Switzerland, esok. – UTUSAN ONLINE