Sivasangari harap dapat kembali kelompok 20 terbaik dunia

Sivasangari harap dapat kembali kelompok 20 terbaik dunia

S. SIVASANGARI yang meraih pingat perak pada Sukan Asia 2018 menjadi sandaran emas di Hangzhou.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy negara, S. Sivasangari mengakui dia perlu bekerja keras untuk kembali berada dalam kelompok 20 terbaik dunia dan berharap penyertaannya pada Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan merupakan satu keputusan yang berbaloi.

Diletakkan sebagai pilihan pertama pada kejohanan berstatus Jelajah Cabaran PSA (Persatuan Skuasy Profesional) itu, Sivasangari tidak berdepan sebarang masalah untuk melangkah ke separuh akhir, hari ini.

Dia mengetepikan rakan senegara, Chan Yiwen menerusi kemenangan straight set 11-5, 11-7, 11-7 pada suku akhir dan bakal berdepan pencabar muda dari Mesir, Nour Heikal pada peringkat seterusnya.

Ketika ditemu bual selepas perlawanan, Sivasangari berharap, segala perancangannya dapat membuahkan hasil terutama dalam usahanya mengutip mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dunia.

“Saya tak mahu letak sebarang tekanan, apa yang penting saya perlu naikkan kembali ranking saya. Ranking saya jatuh selepas insiden menimpa saya tahun lalu.

“Saya cuma mahu memulakan musim ini dengan baik dan memenangi kejohanan ini, saya berharap dapat menempatkan diri saya kembali dalam kelompok 20 terbaik sebelum tahun ini berakhir, walaupun ia bukan satu tugas mudah,” katanya di sini, hari ini.

Sivasangari pernah menghuni ranking No. 16 dunia, tetapi kecederaan serius yang dialaminya sewaktu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu memaksa dia berehat panjang.

Selama tempoh berehat, ranking anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu turut merudum jatuh dan dia kini menghuni ranking ke-49 dunia.

Menurut Sivasangari, jika dia bermain baik dalam pertandingan yg disertainya, tidak mustahil hasrat untuk memperbaiki ranking mampu digapai.

Mengulas mengenai pertemuan separuh akhir, Sivasangari berkata, dia tidak pernah bertemu Nour sebelum ini dan baharu kali pertama menyaksikan pemain berusia 20 tahun itu beraksi.

“Saya rasa dia pemain yang bagus, masih muda, jadi, saya harap dapat memberikan yang terbaik dan fokus dengan apa yang perlu saya lakukan,” ujarnya.

Sementara itu, pilihan kedua, Aira Azman menundukkan pilihan kelima, Menna Hamed dari Mesir 11-9, 11-3, 11-8 dalam satu lagi suku akhir.

Pemain berusia 19 tahun itu yang terpaksa berdepan jadual padat mengakui, berasa agak letih sewaktu berdepan Menna, lawan yang pernah ditentangnya pada pusingan awal Kejohanan Remaja Dunia.

“Saya menyertai pertandingan secara berturut-turut dan kejohanan ini yang keenam. Saya berharap dapat melangkah ke perlawanan akhir dan selepas itu, berehat seketika sebelum ke Sukan Asia,” jelasnya.

Pada separuh akhir, esok, naib juara remaja dunia itu akan menghitung pertemuan dengan rakan senegara yang diletakkan sebagai pilihan keempat, Noor Ainaa Amani Ampandi yang menewaskan J. Yasshmita 11-7, 11-6, 7-11, 11-4. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya