PETALING JAYA: Misi untuk merangkul Trofi Tuanku Muhriz berjaya dilunaskan pemain skuasy negara, S. Sivasangari selepas dia mengetepikan cabaran rakan senegara yang juga juara bertahan, Aira Azman dalam perlawanan akhir di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Pemain No. 49 dunia itu membuktikan dirinya masih sukar ditandingi oleh pemain junior seperti Aira apabila melakar kemenangan 11-8, 11-8, 11-9.
Keputusan Sivasangari menyertai Trofi Tuanku Muhriz yang berstatus Jelajah Cabaran PSA (Persatuan Skuasy Profesional) iaitu pertandingan yang berada dalam kelas lebih rendah berbanding Jelajah Dunia PSA benar-benar berbaloi apabila dia berjaya menambah kutipan mata ranking dunianya.
Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu pernah berada pada ranking No. 16 dunia, sebelum dia ditimpa kemalangan jalan raya, tahun lalu yang memaksanya berehat panjang dan mengakibatkan rankingnya turut merudum jatuh.
Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan pertama ketika ditemu bual selepas perlawanan melahirkan rasa gembira merangkul gelaran sulungnya musim ini.
“Saya bersyukur sebenarnya dapat kembali bermain skuasy kerana selepas kemalangan menimpa saya, tahun lalu, ada terlintas difikiran sama ada saya masih boleh bermain atau tidak.
” Jadi, saya sangat gembira dan saya hanya mahu menikmati pertandingan ini kerana memang atau kalah itu satu perkara, tetapi dapat kembali beraksi serta menang membuat saya lebih bersyukur,” katanya.
Mengulas pula mengenai persediaannya menjelang Sukan Asia di Hangzhou, China, September ini, pemain berusia 25 tahun itu menyifatkan kemenangan tersebut merupakan satu perkara positif yang berlaku kepada dirinya lebih-lebih lagi dia hanya ada dua kejohanan sebelum temasya berkenaan.
Jelasnya, dia memang meletakkan sasaran tinggi pada Sukan Asia, jadi, muncul juara pada Trofi Tuanku Muhriz meningkatkan keyakinannya.
“Diletakkan sebagai pilihan pertama, saya akui berasa tertekan terutama selepas tewas pada final Kejohanan Asia, tetapi, kembali ke Amerika Syarikat dan menjalani latihan banyak membantu keyakinan saya,” ujarnya yang akan menyertai pertandingan di Qatar, sebelum terbang ke Hangzhou.
Bercakap pula mengenai lawannya, Aira, jelas Sivasangari, juniornya itu seorang pemain yang tidak mudah berputus asa dan bertemu dengannya memerlukan fokus yang lebih.
Sementara itu, dalam saingan akhir lelaki, pilihan kelapan, Aly Hussein dari Mesir mengejutkan wakil Pakistan, Muhammad Asim Khan yang diletakkan sebagai pilihan kedua menerusi kemenangan straight set 11-3, 11-1, 11-4.
Aly sewaktu ditemu bual selepas perlawanan memberitahu, kemenangan itu amat bermakna buat dirinya selepas terpaksa berehat selama beberapa bulan akibat kecederaan.
“Selepas pulih, saya gigih berlatih dan ternyata segala kerja keras saya terbayar dengan kejayaan ini,” katanya yang kali pertama datang ke Malaysia.
Hadiah kemenangan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.