PETALING JAYA: Dua pemain skuasy negara, S. Sivasangari dan Aira Azman bakal berentap sesama sendiri bagi merebut gelaran pada Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, esok.
Pada separuh akhir, hari ini, Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan pertama hanya memerlukan masa selama 22 minit untuk mengetepikan cabaran pemain muda Mesir, Nour Heikal 11-3, 11-6, 11-4.
Pemain No. 49 dunia itu yang memburu mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dunianya bakal berdepan naib juara remaja dunia, Aira Azman yang juga merupakan juara bertahan.
Sivasangari ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, dia begitu menginginkan kejuaraan itu bagi membantunya mengumpul mata ranking.
“Saya pada ketika ini sedang cuba memperbaiki kedudukan saya. Saya mahu kembali bersaing dalam kejohanan utama semula,” kata Sivasangari.
Trofi Tuanku Muhriz merupakan kejohanan berstatus Jelajah Cabaran PSA (Persatuan Skuasy Profesional) iaitu pertandingan yang berada dalam kelas lebih rendah berbanding Jelajah Dunia PSA seperti yang selalu disertai Sivasangari sebelum rankingnya jatuh, tahun lalu.
Mengulas pula mengenai aksinya pada separuh akhir, pemain yang pernah menghuni ranking No. 16 dunia itu memberitahu, dia sedikit gopoh ketika beraksi menentang Nour tadi.
“Saya akui sedikit tergopoh-gapah sewaktu hendak melakukan pukulan, tetapi mujurlah saya dapat menamatkan perlawanan pada hari ini dengan keputusan 3-0.
“Jika saya memberikan ruang kepada pemain ini (Nour) bangkit, dia akan mempunyai keyakinan dan keputusan akan jadi berbeza,” ujarnya.
Menurut Sivasangari, dia berasa gambira berjaya melangkah sehingga ke pentas akhir, esok.
“Saya perlu memberikan tumpuan semula kerana bakal berdepan dengan rakan senegara saya,” jelasnya.
Aira yang turun sebagai pilihan kedua sekali lagi berdepan Noor Ainaa Amani Ampandi, lawan yang ditentangnya pada final kejohanan kebangsaan, baru-baru ini di separuh akhir.
Pemain berusia 19 tahun itu dipaksa bekerja keras sebelum menundukkan Ainaa 12-10, 11-6, 7-11, 11-8 dalam masa 35 minit.
Sementara itu, dalam saingan lelaki, dua wakil Malaysia, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dan Ivan Yuen tumbang ditangan lawan masing-masing pada separuh akhir.
Pilihan ketiga, Addeen akur dengan kehebatan pilihan kedua dari Pakistan, Muhammad Asim Khan apabila dia kecundang 15-17, 11-8, 7-11, 8-11 dalam perlawanan yang berlanjutan selama lebih sejam.
Dalam satu lagi separuh akhir, Ivan yang diletakkan sebagai pilihan keempat dikejutkan oleh pilihan kelapan, Aly Hussein dari Mesir 5-11, 7-11, 5-11 dalam masa 50 minit. – UTUSAN ONLINE