RIYADH: Penyokong Al-Nassr memuji sikap Cristiano Ronaldo yang sanggup menolak untuk mencipta hatrik ketika membantu pasukannya membenam Al-Shahab dalam aksi Liga Pro Saudi semalam.
Bintang Portugal itu sudah meledak dua gol menerusi penalti pada minit ke-13 dan 38, malah berpeluang menyempurnakan hatrik apabila Al-Nassr sekali lagi dihadiahkan penalti pada minit ke-63.
Biarpun terkenal dengan sikap sentiasa ‘laparkan’ jaringan, Ronaldo memberi peluang kepada Abdulrahman Abdullah Ghareeb untuk mengambil sepakan.
Abdulrahman, 26, menjalani musim yang sukar kerana belum merekodkan sebarang jaringan dalam empat penampilannya setakat ini.
Walaupun peluang itu disia-siakan Abdulrahman apabila sepakannya menuju ke tiang gol, namun ia tidak menjejaskan Al-Nassr yang meraih dua lagi jaringan menerusi Sadio Mane pada minit ke-40 dan Sultan Al-Ghannam, minit ke-80.
Di media sosial, peminat memuji sikap Ronaldo yang dianggap ‘ada kelas’ dan contoh seorang pemimpin sebenar.
“Cristiano Ronaldo boleh menjaringkan hatrik, namun memutuskan memberi penalti kepada rakan sepasukan yang menghadapi kesukaran musim ini,” tulis seorang penyokong di Twitter.
“Melihat situasi ini, saya teringat laporan yang pernah memberitahu Ronaldo taksub dengan statistik dan rekod,” kata seorang lagi peminat. – AGENSI