KETIKA ini hangat diperkatakan calon-calon untuk mengisi dua kerusi panas sukan negara – Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Datuk Ahmad Shapawi Ismail, ketua pengarah MSN sejak 2014 menggantikan Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, menginjak usia persaraan mandatori hujung September.
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, yang mengambil alih teraju BAM pada 2017 menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif, sudah mengumumkan hasrat berundur Disember ini.
Walaupun ada ruang untuk kontraknya dilanjutkan melepasi usia bersara wajib 60 tahun, Ahmad Shapawi dikatakan tidak bercadang berbuat demikian atas faktor kesihatan.
Dengan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Abdul Rashid Yakub akan bersara wajib tahun depan, Arrifin Mohd. Ghani yang kembali ke MSN minggu ini selaku Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), disebut-sebut bakal menggantikan Ahmad Shapawi.
Arrifin yang baru kembali ke MSN selepas menghabiskan tiga tahun sebagai Timbalan Pesuruhjaya Sukan dan setahun selaku Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, adalah bekas penyerang hoki kebangsaan yang meraih emas Sukan SEA 1993 selain membantu skuad remaja negara menduduki tangga keenam Piala Dunia Remaja FIH 1989.
Mengumpul 30 cap antarabangsa dalam tempoh lima tahun, Arrifin pernah menjadi pengurus hoki remaja negara untuk Piala Dunia Remaja di Hobart 2001 dan Rotterdam 2005.
Dalam MSN, antara jawatan yang pernah disandang ialah Ketua Unit Organisasi Bahagian Elit, Pengarah Bahagian Persediaan Antarabangsa, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan dan Pengarah Bahagian Atlet Elit.
Berasal dari Bandar Hilir, Melaka, Arrifin, 55, berkelulusan Pengajian Undang-undang dari Institut Teknologi Mara, kini UiTM.
Seorang lagi calon ialah Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin. Anak jati Sepang, Selangor itu banyak membantu menyelaras dan merangka program elit dengan persatuan sukan kebangsaan sejak 2015.
Selain menjadi Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA 2017, Jefri pernah berkhidmat selaku Ketua Unit Sukan Teras dan Pengarah Cawangan Pelapis sebelum menjawat tugas Pengarah Bahagian Atlet MSN.
Berkelulusan jurusan perniagaan Universiti Miami, Amerika Syarikat, Jefri, 51, perancang di sebalik tabir Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) pada 2010 ketika jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.
Calon lain termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Ramli. Peluangnya cerah andai ISN digabungkan semula dengan MSN, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam adalah individu kepercayaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Bagi BAM pula, sejak Norza mengumumkan akan mengundur diri pada hujung tahun ini, media melontarkan beberapa tokoh sebagai calon pengganti, termasuk Razali yang juga bekas Ahli Parlimen Muar.
Bekas Timbalan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Al-Amin Abdul Majid yang pernah menjadi Setiausaha, Naib Presiden dan Timbalan Presiden BAM serta Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, juga disebut-sebut, selain bekas Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim d Zabidi. Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut dikaitkan dengan jawatan itu.
Cabaran terbesar pengganti Norza bukan sekadar membawa tajaan demi kelangsungan BAM tetapi juga mengurus atlet generasi Tik Tok yang berbeza dengan generasi boomers dan X.
Norza memancing tajaan terbesar dalam sejarah BAM menerusi perjanjian tiga tahun dengan Petronas, selain Perodua dan Affin Bank. Dia juga presiden pertama membawa pulang gelaran dunia menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada 2021.
Minggu-minggu seterusnya harus ditunggu-tunggu peminat sukan negara.Siapa bakal isi kerusi panas MSN, BAM?