PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui, cabaran besar menanti mereka yang dalam misi menamatkan badi suku akhir Kejohanan Badminton Dunia yang akan berlangsung di Copenhagen pada 21 hingga 27 Ogos ini.
Soon Huat-Shevon diletakkan sebagai pilihan ke-10 mendapat bye di pusingan pertama, namun cabaran sebenar adalah apabila mereka akan berdepan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje atau China, Huang Do Ping-Feng Yanzhe di pusingan ketiga.
Begitupun mereka perlu melepasi Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China di pusingan kedua nanti, yang pernah menumpaskan mereka di final Terbuka Switzerland pada Mac.
Untuk dua edisi sebelum ini iaitu di Huelva 2021 dan Tokyo 2022, langkah Soon Huat-Shevon terhenti di pusingan suku akhir.
Ia menyaksikan mereka terlepas peluang untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa memandangkan format kejohanan dunia menawarkan pingat tersebut untuk pemain/pasangan yang berjaya melangkah ke perlawanan separuh akhir.
“Undian ini bukan yang terbaik tetapi bukan yang tidak bagus. Pada masa ini dalam acara beregu campuran, dalam mana-mana undian pun semua pemain mempunyai peluang 50-50 dan sangat kompetitif.
“Saya rasa di pusingan kedua atau pusingan 16 terbaik akan jumpa mungkin (gandingan) China yang lebih kuat.
“Apapun bagi saya, secara keseluruhan undian adalah okey tetapi kena buat sebaik mungkin,” jelas Shevon ketika ditemui sesi terakhir skuad badminton profesional negara di Sri Petaling semalam.
Shevon dan Soon Huat bersama-sama rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan jurulatih mereka, Rosman Razak berlepas ke Denmark pada hari ini, sementara beregu lelaki, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien akan berlepas pada awal pagi esok.
Sejak kejohanan dunia diadakan pada 1977, Malaysia belum pernah menjadi juara untuk acara beregu campuran, dengan percubaan terbaik negara hadir menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang meraih pingat gangsa ketika 2006 di Madrid. – UTUSAN ONLINE