Separuh akhir bukan misi mustahil

Separuh akhir bukan misi mustahil

MUHAMMAD Azeem Fahmi akan menjadi wakil tunggal Malaysia dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Hungary.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas jaguh pecut Asia Tenggara, Watson Nyambek mempunyai keyakinan bintang remaja negara, Muhammad Azeem Fahmi mampu melakar kejutan pada penampilan sulungnya dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest hari ini.

Watson yang pernah tampil secara merit pada Kejohanan Dunia 1997 di Athens, Greece melihat Azeem, 19, mempunyai potensi untuk mara ke separuh akhir 100m jika berjaya mengulangi catatan masa peribadi ­terbaiknya.

Azeem yang tampil buat kali pertama menerusi tiket wildcard (jemputan) dijangka tidak menghadapi masalah untuk melepasi pusingan kelayakan yang akan berlangsung di ­Pusat Olahraga Nasional, Budapest pada pukul 6.35 petang ini (waktu Malaysia).

Atas kertas, dia memiliki ­rekod peribadi terbaik 10.09 saat (s), catatan yang jauh lebih baik daripada enam lagi pencabarnya dalam saringan kedua pusingan kelayakan.

Turun beraksi dalam saringan tersebut Aayush Kunwar (Nepal), Winzar Kakuouea (Nauru), Seco Camara (Guinea-Bissau), dan Kylian Vatrican (Monaco), Dylan Sicobo (Syechelles) dan Bradon Jones (Belize).
Sicobo dengan catatan terbaik 10.45s serta Jones (10.53s) adalah pencabar terdekat Azeem pada saringan tersebut.

Hanya dua pelari terbaik akan mara ke pusingan pertama sebelum Azeem boleh mencongak untuk berentap dengan jaguh terbaik dunia di peringkat separuh akhir.

“Kalau ikut rekod atas kertas, dia mungkin mempunyai peluang sekitar 70 peratus untuk mara ke separuh akhir, namun semua ini tetap bergantung kepada hari pertandingan.

“Ramai juga pelari yang mempunyai catatan yang agak rapat dengan Azeem.

“Bagi saya, ini kejohanan dunianya yang pertama, jadi dia ke sana dalam keadaan ‘underdog’, dia hanya perlu fokus kepada larian supaya tidak diberikan tekanan tinggi.

“Bagi saya, keutamaan Azeem adalah melakukan catatan peribadi terbaik sebagai bekalan untuk menghadapi Sukan Asia pada bulan hadapan.

“Apa sahaja rekod atas kertas adalah tidak sama dengan hari pertandingan itu sendiri, jadi saya harapkan Azeem mungkin boleh melakar kejutan,” kata Watson kepada Utusan Malaysia.

Kehadiran Azeem di Budapest bukan sahaja diiringi jurulatihnya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS), Ken Harden, malah dia turut mendapat sentuhan jurulatih asalnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah yang diterbangkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Catatan masa terbaik Azeem musim ini adalah 10.11s yang dilakukan di Los Angeles, Mei lalu, namun dalam penampilan terakhir pada Kejohanan Asia di Bangkok, dia mencatat 10.25s untuk berada di kedudukan kelima pada final 100m.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya